- Iklan -
Berita

Penyertaan Muda, Pejuang akan untungkan BN di Johor, kata penganalisis

Semua parti masih belum umumkan calon PRN Johor, namun sudah ramai yang menyatakan minat untuk bertanding.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Barisan Nasional mendapat momentum kemenangan dalam tiga PRN yang diadakan sejak pandemik melanda negara pada 2020.
Barisan Nasional mendapat momentum kemenangan dalam tiga PRN yang diadakan sejak pandemik melanda negara pada 2020.

Penyertaan parti-parti baru seperti Muda dan Pejuang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dijangka akan memecahkan lagi undi Pakatan Harapan (PH) dan menguntungkan Barisan Nasional (BN), kata beberapa penganalisis.

Mereka berkata, situasi ini dijangka akan menyukarkan lagi misi menumbangkan BN di negeri itu memandangkan Johor merupakan tempat lahir dan kubu kuat Umno.

Ahmad Martadha Mohamed dari UUM berkata, penyertaan Muda dalam PRN Johor contohnya akan menyebabkan PH sukar menarik sokongan daripada pengundi muda.

“Perlu diingati bahawa daripada 700,000 pengundi yang berdaftar di Johor juga termasuk pengundi muda, jadi golongan ini dijangka menjadi penentu,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Pengundi muda ramai tidak menyokong BN terutamanya di kawasan bandar.”

James Chin, dari University of Tasmania, berkata, walaupun Muda dijangka memberi impak besar, terdapat juga kehadiran banyak parti baru yang ingin “mencuba nasib” dan keadaan ini dijangka akan mengeruhkan lagi keadaan bagi pihak yang sedang melawan BN.

“Namun begitu, masih terlalu awal untuk membuat ramalan kerana semua parti masih belum umumkan calon mereka,” katanya kepada MalaysiaNow.

Sebelum ini Pengerusi PH Anwar Ibrahim berkata, gabungan itu terbuka untuk bekerjasama dengan parti-parti pembangkang lain seperti Pejuang, Warisan dan Muda.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018, PH berjaya memenangi 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.

Bagaimanapun, PH hilang kerajaan negeri apabila Bersatu membuat keputusan untuk keluar daripada gabungan politik tersebut dan menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri Johor di bawah Perikatan Nasional (PN) dengan kerjasama BN.

Susulan pembubaran DUN Johor pada 22 Januari lalu, beberapa parti baru sedang pertimbang untuk bertanding di PRN Johor dengan Pejuang menyatakan mereka akan bertanding di 42 dari 56 kerusi DUN yang bakal dipertandingkan.

PN saingan utama BN

Sementara itu, penganalisis politik Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, Oh Ei Sun menjangkakan saingan hebat kepada BN ialah Perikatan Nasional (PN) memandangkan pengerusinya, Muhyiddin Yassin merupakan tokoh yang dikenali di negeri itu.

Bagaimanapun, katanya, agak sukar untuk Bersatu mengulangi pencapaian pada 2018 kerana sokongan Umno di negeri itu kekal kukuh manakala “tsunami” rakyat kemungkinan besar tidak akan berulang.

“Keadaan ini juga akan menyukarkan pihak PH untuk merekodkan pencapaian sama pada 2018, apatah lagi memenangi PRN Johor,” katanya kepada MalaysiaNow.

Sementara itu Chin berkata, prestasi Pejuang juga dijangka akan menjadi hambar terutama apabila pengerusinya, Dr Mahathir Mohamad dijangka tidak akan menyertai kempen PRN Johor disebabkan keadaan kesihatannya.

“Jika Pejuang turut bertanding, jentera pilihan raya mereka sangat terhad di Johor, justeru agak menarik untuk lihat siapakah yang akan jadi calon Pejuang.

“Dengan Mahathir berada di hospital, tumpuan pastinya ke arah pencapaian parti itu.

“Saya jangka impaknya hanya sedikit sebab ramai dalam kalangan warga Johor tidak begitu sanjungi beliau,” tambahnya.

Pada 22 Januari lalu, DUN Johor dibubarkan selepas Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran yang diserahkan Menteri Besar Hasni Mohammad.

Pembubaran itu berkuat kuasa serta-merta bagi memberi laluan kepada PRN buat kali keempat diadakan sejak pandemik Covid-19 mula melanda selepas Sabah, Melaka dan Sarawak.