- Iklan -
Berita

Biden beri amaran ‘bencana untuk Rusia’ jika serang Ukraine

Biden memberikan pilihan kepada Putin sama ada tindakan ketenteraan atau diplomasi ketika ancaman Rusia terhadap Ukraine meningkat.

AFP
2 minit bacaan
Kongsi
Presiden Amerika Syarikat Joe Biden. Gambar: AFP
Presiden Amerika Syarikat Joe Biden. Gambar: AFP

Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden berkata beliau menjangka Rusia akan menyerang Ukraine sekali gus memberi amaran bahawa negara itu akan menerima akibat buruk dari segi ketenteraan dan ekonomi jika bertindak demikian.

Biden berkata beliau tidak yakin Presiden Vladimir Putin mahukan peperangan, namun berkata pemimpin Rusia itu telah mewujudkan situasi yang terbukti amat sukar untuk diredakan dan keadaan akan menjadi lebih sukar untuk dikawal di rantau itu.

“Tekaan saya dia akan teruskan niatnya. Dia perlu lakukan sesuatu,” kata Biden semasa sidang media sempena setahun memegang jawatan presiden.

Beliau meramalkan “pencerobohan kecil” akan dilakukan Rusia untuk menguji AS.

Rusia dilaporkan menggerakkan lebih dari 100,000 tentera dan jentera perang di sempadan Ukraine, Moscow juga turut menghantar isyarat ke negara-negara Barat mengenai ancamannya terhadap Kyiv.

Biden juga memberi amaran kepada Moscow berhubung pencerobohan penuh, dengan berkata: “Sekutu dan rakan kami sedia mengakibatkan kesan yang ‘mahal lagi ketara’ terhadap Russia serta ekonominya.”

“Jika mereka benar-benar lakukan apa yang mereka mahu dengan kekuatan yang mereka kumpulkan di sempadan, ia lakukan, ia akan menjadi bencana bagi Rusia,” kata Biden kepada pemberita.

“Jika Ukraine diserang dan ramai kehilangan nyawa, akibat bagi Rusia… ia akan menjadi berat.”

Bagaimanapun, pemimpin AS itu telah mencetuskan kontroversi ketika mencadangkan “ada sesuatu yang tidak betul daripada pencerobohan itu” dan ia akan mendapat reaksi Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato).

Biden juga berkata beliau yakin Putin juga tidak mahukan peperangan berlaku kerana sekatan ekonomi yang serius dan kehilangan sumber pendapatan daripada jualan bahan api akan dihadapi Rusia .

“Sekatan akan menyukarkan bank Rusia untuk berurusan menggunakan dolar AS, mata wang utama dunia.

“Jadi, ini bukan sesuatu yang mudah bagi Rusia tetapi Putin masih mahu menguji kecekalan AS dan sekutu Nato di Eropah, dengan matlamat melemahkan pakatan ini,” katanya.

Tambah beliau, AS kini menyelaras kesepakatan Nato bagi menghadapi ancaman Rusia dan Putin juga menyedari hanya ada dua pilihan sama ada tindakan ketenteraan atau diplomasi.

“Beliau perlu memikirkan kesan terhadap Rusia sebelum bertindak.”