- Iklan -
Berita

Cuaca buruk, hujan lebat dijangka berterusan di Pahang, Johor sehingga esok

Amaran hujan berterusan tahap kuning turut diramal berlaku di beberapa kawasan di Terengganu, Melaka, Sabah dan Negeri Sembilan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Bot digunakan bagi menyelamatkan mangsa banjir di Pahang. Sembilan daerah termasuk Bentong, Raub, Lipis, Jerantut, Temerloh, Bera, Maran, Kuantan dan Pekan antara yang paling teruk dilanda banjir. Gambar: Bernama
Bot digunakan bagi menyelamatkan mangsa banjir di Pahang. Sembilan daerah termasuk Bentong, Raub, Lipis, Jerantut, Temerloh, Bera, Maran, Kuantan dan Pekan antara yang paling teruk dilanda banjir. Gambar: Bernama

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran cuaca buruk tahap jingga iaitu hujan lebat berterusan dijangka berlaku di Pahang dan Johor sehingga esok (4 Januari).

Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) hari ini memaklumkan daerah yang terlibat ialah Rompin di Pahang dan Mersing di Johor.

Sementara itu, kenyataan itu turut mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap kuning yang diramal berlaku di Kemaman (Terengganu), Maran, Kuantan, Bera, Pekan (Pahang), Kuala Pilah, Rembau, Jempol, Tampin (Negeri Sembilan) dan Melaka.

Amaran tahap waspada itu turut diberikan kepada beberapa kawasan iaitu Tangkak, Segamat, Muar, Batu Pahat, Kluang, Pontian, Kulai dan Johor Bahru (Johor) dan Sandakan, Telupid, Kinabatangan, Beluran (Sabah).

Dalam pada itu NADMA turut menyarankan supaya Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Negeri dan Daerah diaktifkan di kawasan yang berisiko tinggi selain meningkatkan tahap kesiapsiagaan bagi menghadapi bencana.

“Pihak jawatankuasa itu juga dimohon untuk memastikan setiap pusat pemindahan dilengkapi dengan keperluan asas dan Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) mempunyai segala aset pengoperasian mencukupi serta berada di dalam keadaan baik dan bersedia untuk digunakan,” menurut Nadma.