- Iklan -
Berita

PH sekali lagi ancam batal MoU dengan PM

Mereka turut mempersoalkan Peguam Negara Idiris Harun, mengatakan keputusan tersebut akan mencemarkan kebebasan dan kredibiliti beliau.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Pemimpin pembangkang bersama Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob ketika pertemuan menandatangani MoU bersama September lalu.
Pemimpin pembangkang bersama Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob ketika pertemuan menandatangani MoU bersama September lalu.

Pemimpin utama Pakatan Harapan (PH) sekali lagi mengancam untuk mengabaikan persefahaman (MoU) yang dipersetujui dengan kerajaan Ismail Sabri Yaakob susulan beberapa laporan yang mengatakan pihak pendakwaan akan membatalkan rayuan bagi pengguguran kes rasuah RM2 juta Tengku Adnan Mansor.

Mereka turut mempersoalkan Peguam Negara Idiris Harun, mengatakan keputusan tersebut akan mencemarkan kebebasan dan kredibiliti beliau.

“Majlis presiden juga akan meneliti kemungkinan tindakan peguam negara ini melanggar Perjanjian Memorandum Persefahaman di antara Pakatan Harapan dan Kerajaan, khususnya perkara empat berhubung kebebasan institusi kehakiman,” kata sebuah kenyataan yang ditandatangani pemimpin utama parti-parti komponen Pakatan Harapan.

Minggu lalu, pihak pendakwaan dilaporkan menarik balik rayuan yang difailkan beberapa hari selepas bekas setiausaha agung Umno itu dibebaskan Mahkamah Rayuan pada Julai, mengubah keputusan sabitan bersalah oleh Mahkamah Tinggi pada Disember 2020.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan mendapati Ku Nan bersalah bagi pertuduhan rasuah kerana menerima sejumlah RM2 juta daripada pengarah urusan Aset Kayamas Sdn Bhd, Chai Kin Kong sekali gus memberikan penghakiman hukuman penjara 12 bulan dan denda RM2 juta terhadap bekas menteri itu.

Adnan, atau Ku Nan, didakwa menerima RM2 juta daripada pengarah urusan syarikat, namun mahkamah rayuan memutuskan jumlah itu adalah derma kepada Umno bagi perbelanjaan Pilihan Raya Kecil Kuala Kangsar dan Sungai Besar pada 2016.

PH dalam kenyataannya menyatakan rasa terkejut terhadap tindakan untuk tidak meneruskan rayuan bagi pengguguran kes Ku Nan selain sekali lagi menggesa Idris meletakkan jawatan.

“Tindakan membatalkan rayuan ini mewujudkan persepsi yang sangat buruk dan menghakis kepercayaan umum terhadap institusi peguam negara malah mencemarkan kredibilitinya dan kebebasannya untuk menjalankan tugas rasminya secara profesional,” tambahnya sambil merujuk satu klausa MoU antara PH dan Ismail berhubung kebebasan badan kehakiman.

Pada September, Ismail dan pemimpin PH menandatangani MoU mengenai “Transformasi dan Kestabilan Politik”, sebelum selepas beliau mengangkat sumpah sebagai perdana menteri menggantikan Muhyiddin Yassin.

Ismail berkata kerajaan diketuai Umno bersedia untuk melaksanakan beberapa langkah pembaharuan bagi mengukuhkan peranan Parlimen yang mirip dengan apa yang dicadangkan Muhyiddin Yassin sewaktu pentadbiran beliau berada di ambang kejatuhan namun ditolak oleh PH.

Kenyataan hari ini juga adalah susulan ancaman pemimpin PH sebelum ini yang berkata mereka akan menyemak semula MoU dengan kerajaan ekoran kekecohan hadiah rumah bernilai RM100 juta kepada Najib Razak.

Ekoran kecaman ramai, Najib mengumumkan beliau menarik balik permohonan rumah kediaman di mana MalaysiaNow dapat mengenal pasti bakal dibina di sebuah plot tanah premium seluas 120,000 kaki persegi di kawasan kejiranan mewah Bukit Petaling, Kuala Lumpur.