- Iklan -
Berita

UK iktiraf vaksin Sinovac untuk pelawat asing

Penerima vaksin keluaran China akan diiktiraf dan dilayan sama seperti penerima vaksin penuh lain di sempadan UK.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Petugas kesihatan memeriksa vaksin Sinovac keluaran China sebelum memberikan suntikan kepada penerima. Gambar: AFP
Petugas kesihatan memeriksa vaksin Sinovac keluaran China sebelum memberikan suntikan kepada penerima. Gambar: AFP

Kerajaan United Kingdom (UK) mengumumkan pada Isnin ia akan menambah Sinovac, Sinopharm dan Covaxin dari China dalam senarai vaksin Covid-19 yang diluluskan negara itu bagi perjalanan masuk.

“Mulai 4 pagi Isnin 22 November, vaksin Covid-19 yang disenaraikan WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia) dalam EUL (penyenaraian penggunaan kecemasan) akan diiktiraf dan semua kanak-kanak bawah 18 tahun yang datang ke England akan menerima layanan penerima vaksin penuh di sempadan negara,” kata pihak berkuasa UK dalam sebuah kenyataan.

Di UK, penumpang yang divaksin sepenuhnya dan menerima sijil vaksin mereka dari lebih 135 negara dan wilayah yang diluluskan tidak perlu menjalani ujian saringan pra-perlepasan, ujian saringan hari kelapan atau kuarantin kendiri semasa ketibaan.

Sebaliknya, penumpang hanya perlu membayar ujian saringan segera pada hari kedua ketibaan mereka.

Setiausaha Kesihatan Britain, Sajid Javid berkata, pengumuman itu adalah satu lagi langkah ke hadapan bagi membantu industri pelancongan, perniagaan dan memudahkan keluarga dan rakan-rakan yang ingin bertemu kembali atau melakukan perjalanan ke luar negara.

“Senarai merah dan sistem kuarantin masih penting dalam melindungi sempadan kita, dan seperti yang kami katakan, kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan dengan menambah negara-negara lain ke senarai merah jika perlu,” tambahnya.