- Iklan -
Berita

Pembelaan nafi Zahid lakukan pecah amanah

Peguam Zahid menjawab dakwan pihak pendakwaan bahawa dana Yayasan Akalbudi digunakan dalam pembelian sebuah hotel di Bali.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi. Gambar: Bernama
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi. Gambar: Bernama

Mahkamah Tinggi diberitahu satu daripada pertuduhan terhadap bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi atas dakwaan penyelewengan dana Yayasan Akalbudi (YAB) tidak menyatakan perjanjian jual beli sebuah hotel di Bali, Indonesia.

Peguam Hisyam Teh Poh Teik, yang mewakili Zahid, berkata perkara itu sama sekali tidak relevan dengan pertuduhan tersebut, apabila pihak pendakwaan mendakwa sebahagian daripada dana RM17.9 juta itu disalahgunakan untuk urusan pembelian saham.

“Setakat pertuduhan berkenaan, tidak dinyatakan mengenai penjualan saham daripada Abdul Rashid Manaf (saksi pendakwaan ke-83), tidak disebut mengenai Ri-Yaz Assets (Ri-Yaz Assets Sdn Bhd), tidak dinyatakan mengenai Mohammad Shaheen Shah Mohd Sidek (saksi pendakwaan ke-84), tidak disebut mengenai pembelian hotel di Bali dan tidak disebutkan perjanjian jualan (saham).

“Yang Arif, semua keterangan yang dikemukakan oleh Rashid, Mohammad Shaheen Shah adalah tidak relevan dengan pertuduhan itu.”

Hisyam berkata demikian dalam hujahan balasnya di akhir kes pendakwaan terhadap Zahid, yang menghadapi 47 pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT), rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana YAB.

“Naratif yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan, bukti (yang dikemukakan pihak pendakwaan) adalah tidak relevan,” katanya.

Minggu lalu, pihak pendakwaan memberitahu mahkamah bahawa pengeluaran RM17.9 juta daripada dana YAB antara lain adalah untuk memudahkan anak perempuannya membeli sebuah hotel butik di Bali.

Anak sulung Zahid, Nurulhidayah berminat untuk mengambil alih saham Ri-Yaz Asset Sdn Bhd dan mengusahakan hotel itu.

Zahid, 68, berdepan 47 pertuduhan iaitu 12 bagi pecah amanah jenayah, lapan bagi rasuah dan 27 bagi pengubahan wang haram membabitkan berpuluh-puluh juta ringgit milik YAB.

Bagi 12 tuduhan CBT, Zahid didakwa telah menggunakan dana tersebut untuk membuat pembayaran bil kad kredit peribadi, polisi insurans dan lesen kenderaan peribadinya, selain kiriman wang kepada firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di cawangan Affin Bank Jalan Bunus off Jalan Masjid India antara 13 Januari 2014 dan 23 Disember 2016.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara dua hingga 20 tahun serta sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung 22 November selepas Zahid kembali dari Munich, Jerman untuk rawatan perubatannya.

- Iklan -

Paling Popular