- Iklan -
Berita

KPM tidak halang pelajar tolak vaksinasi hadir ke sekolah

Menurut timbalan menteri pendidikan, kaunseling akan diberikan khususnya kepada ibu bapa kerana bukan pelajar yang enggan menerima vaksin namun ibu bapa mereka yang menolaknya.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Kementerian pendidikan akan memberi penerangan kepada ibu bapa tentang keperluan vaksin supaya mereka bersedia demi keselamatan serta melindungi anak-anak mereka daripada jangkitan serius Covid-19.
Kementerian pendidikan akan memberi penerangan kepada ibu bapa tentang keperluan vaksin supaya mereka bersedia demi keselamatan serta melindungi anak-anak mereka daripada jangkitan serius Covid-19.

Kementerian pendidikan (KPM) tidak akan menghalang pelajar yang tidak mengambil vaksin Covid-19 daripada hadir di sekolah apabila sesi persekolahan secara bersemuka dilaksanakan nanti.

Timbalan Menteri Pendidikan Mah Hang Soon berkata beliau tidak menolak kemungkinan ada pelajar yang menolak vaksin itu tetapi hanya sebilangan kecil kerana ibu bapa yang tidak bersedia untuk membenarkan anak-anak mereka mendapatkan suntikan vaksin.

“Seseorang pelajar itu ada hak (untuk belajar dan datang ke sekolah). Tiada sebab untuk KPM menghalang mereka kembali ke sekolah (tanpa vaksin). Kaunseling akan diberikan khususnya kepada ibu bapa kerana bukan pelajar yang enggan menerima vaksin tetapi ibu bapa yang tolak,” katanya pada sidang media khas Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja bersama Timbalan Menteri Kesihatan I Noor Azmi Ghazali semalam.

Beliau berkata KPM melalui pejabat pendidikan daerah (PPD) telah mengeluarkan arahan kepada sekolah di seluruh negara supaya pemberian janji temu bagi PICK Remaja dapat dipercepatkan untuk memastikan kejayaannya.

Katanya pelbagai kaedah akan diambil KPM untuk memberi penerangan kepada ibu bapa tentang keperluan vaksin supaya mereka bersedia demi keselamatan serta melindungi anak-anak mereka daripada jangkitan serius Covid-19.

“KPM bersedia mengadakan hebahan membantu ibu bapa dan sekolah mencapai matlamat. KPM merancang untuk menghantar pelbagai bahan hebahan untuk membantu ibu bapa menerima maklumat yang betul supaya bersetuju membenarkan anak-anak menerima vaksin,” katanya.

Sementara itu, Dr Mah berkata prinsip yang dipegang kementerian itu adalah memastikan seramai mungkin pelajar menerima vaksin Covid-19 menerusi PICK Remaja dalam masa terdekat.

Beliau berkata prinsip itu adalah seiring dengan pembukaan sekolah secara berperingkat bermula pada 3 Oktober ini khususnya pelajar yang bakal menduduki peperiksaan.

“KPM tidak memilih jurusan mana atau kumpulan mana tetapi lebih kepada pembukaan sekolah khusus Tingkatan Enam atau pelajar yang perlu kembali ke sekolah untuk membuat persediaan peperiksaan,” katanya.