- Iklan -
Berita

AS redakan kemarahan Perancis selepas Australia batal perjanjian kapal selam

Menteri Luar Perancis Jean-Yves Le Drian berkata keputusan Australia seperti ‘tikam belakang’ sekutu sendiri.

AFP
3 minit bacaan
Kongsi
Kapal selam USS Illinois kembali ke  Pelabuhan  Pearl Harbor-Hickam dari  7th Fleet pada 13 September. Gambar: AP
Kapal selam USS Illinois kembali ke Pelabuhan Pearl Harbor-Hickam dari 7th Fleet pada 13 September. Gambar: AP

Amerika Syarikat (AS) pada Khamis sedang berusaha untuk mengatasi kritikan Perancis yang tegas membantah Australia kerana membatalkan perjanjian senjata dengan negara itu bagi mendapatkan kapal selam nuklear AS.

Presiden AS Joe Biden pada Rabu melancarkan perikatan atau perjanjian baru antara Amerika Syarikat, Australia dan Britain berkaitan kapal selam – aset utama bagi mencabar China yang dijangka akan semakin berpengaruh dalam tempoh beberapa dekad akan datang.

Sehubungan itu, China turut menyuarakan kemarahan seperti Perancis, dengan membatalkan acara gala di Washington bagi meraikan hubungan paling lama dengan AS.

Negara itu mendakwa Biden yang diharapkan dapat melakukan perubahan tidak memiliki perbezaan dalam pendekatan pentadbirannya dibanding pendahulunya, Donald Trump yang terkenal dengan slogan “America First”.

Menteri Luar Perancis Jean-Yves Le Drian berkata beliau “sangat marah” berikutan kontrak yang pernah disifatkan sebagai “kontrak terbesar abad ini” bernilai A$50 bilion (AS$ 36.5 bilion) yang ditandatangani pada 2016 dibatalkan.

“Keputusan sepihak, bahkan secara mendadak tanpa dijangka ini mengingatkan tingkah laku yang serupa seperti pentadbiran Trump,” kata Le Drian kepada radio France Info.

Berhubung Australia, beliau berkata, “Ini betul-betul macam tikam belakang. Kami menjalin hubungan dengan dasar saling percaya dengan Australia. Namun kepercayaan itu dikhianati.”

Ketika pertemuan antara Setiausaha Negara Amerika Syarikat Anthony Blinken dengan rakan sejawatnya dari Australia di Washington, Blinken yang fasih berbahasa Perancis berkata AS mengutamakan hubungannya dengan Eropah, mengatakan beliau menganggap negara itu sebagai “rakan penting” dan tidak melihat wujud “perpecahan antara wilayah” antara sekutunya di Atlantik dan Pasifik.

“Kami mahu setiap peluang bagi memperluas kerjasama transatlantik di Indo-Pasifik dan di seluruh dunia,” kata Blinken kepada pemberita.

Menurutnya, AS berhubung dengan Perancis dalam tempoh “24 hinga 48 jam lalu” bagi membincangkan perselisihan tersebut.

Jurucakap kedutaan Perancis, bagaimanapun berkata perhubungan itu hanya berlaku selepas berita tersebut didedahkan media.

Kedutaan Perancis turut berkata ia akan mengecilkan skala hari peringatan pada Jumaat berhubung peranan Perancis dalam peristiwa pertempuran tentera laut ketika Revolusi Amerika memuncak, selain turut membatalkan acara gala meraikan peristiwa tersebut di kediaman kedutaan.

AS, Australia, Britain dan China

Semalam, AS mengumumkan pakatan baru dengan Australia dan Britain untuk memperkuatkan aset tentera bagi menghadapi kebangkitan China.

Susulan pengumuman pakatan yang digelar Auskus itu, Canberra menerima armada kapal selam nuklear dan peluru berpandu dari negara AS.

Presiden AS, Biden, Perdana Menteri Austarlia, Scott Morrison dan rakan sejawatnya, Boris Johnson tidak menyebut nama China tetapi niat mereka jelas menimbulkan kemarahan Beijing.

Biden berkata inisiatif itu adalah untuk memastikan semua pihak mempunyai kemampuan yang moden lagi canggih untuk berdepan mempertahankan ancaman yang sedang berkembang pesat.

Morrison pula berkata, tiga negara itu menghormati kebebasan serta peraturan undang-undang dan pakatan itu akan membantu menjaga keselamatan di wilayah mereka.

Dalam pada itu, China menyelar pakatan itu sebagai “sangat tidak bertanggungjawab dan menjadi ancaman kepada kestabilan di rantau itu.

Ia juga menimbulkan kemarahan Paris kerana Australia membatalkan perjanjian berbilion dolar yang dimeterai pada 2016 untuk membeli kapal selam konvensional dari Perancis.

Pakatan Barat yang menyentuh keamanan atau keselamatan serantau biasanya merujuk kepada peraturan undang-undang dan kebebasan apabila mendepani kehadiran tentera China di Laut China Selatan.

Inisiatif pertama yang diumumkan dalam pakatan baru itu adalah armada lapan kapal selam berkuasa nuklear yang canggih untuk Australia.

Kata Biden dan pemimpin lain, kapal selam itu tidak akan dilengkapi dengan senjata nuklear, sebaliknya hanya dijana rektor nuklear saja, namun mereka akan benarkan tentera Australia untuk belajar dan menetapkan sasaran dari perairan negara itu.

Pensyarah Pusat Pengajian AS di University of Sydney, Ashley Townshend, memberitahu AFP bahawa ia lebih senyap, lebih pantas dan lebih berdaya tahan, yang akan membolehkan kapal selam Australia itu berada lama di Indo-Pasifik.