- Iklan -
Berita

Kerajaan sedang perkemas SOP, kurangkan dari 181 kepada 10 sahaja, kata menteri

Hishammuddin berkata kerajaan mahu SOP sedia ada lebih difahami rakyat, golongan industri dan pihak yang menjalankan penguatkuasaan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri Kanan Pertahanan Hishammuddin Hussein.
Menteri Kanan Pertahanan Hishammuddin Hussein.

Kerajaan sedang berusaha memperkemas prosedur operasi standard (SOP) berkaitan Covid-19 sedia ada supaya lebih difahami rakyat, golongan industri dan pihak yang menjalankan penguatkuasaan, kata Menteri Kanan Pertahanan Hishammuddin Hussein.

Beliau berkata buat masa ini, terdapat 181 SOP merangkumi keempat-empat fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan kerajaan bermatlamat mengurangkannya kepada 10 SOP sahaja.

“Langkah memperkemas SOP yang telah diguna pakai selama lebih setahun ini tentunya akan mengambil sedikit masa namun kerajaan komited untuk menyelesaikannya sebelum peralihan ke fasa endemik,” katanya dalam sidang media mengenai hasil Mesyuarat Kuartet Menteri Covid-19.

Turut serta dalam sidang media di bangunan Parlimen itu ialah Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz dan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Hishammuddin berkata bagi menentukan bagaimana SOP sedia ada dapat diperkemaskan, kerajaan bukan hanya mengambil kira data sains khususnya daripada kementerian kesihatan (KKM), tetapi juga maklum balas serta pandangan daripada pakar-pakar dan golongan industri.