- Iklan -
Berita

Perjanjian Malaysia 1963 antara 6 perkara dalam MoU kerajaan, pembangkang

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata memorandum tersebut adalah cara untuk mencari penyelesaian kepada sebarang permasalahan demi mencapai matlamat Malaysia makmur,inklusif dan mampan.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Wakil pemimpin utama kerajaan dan pembangkang dalam majlis Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik hari ini.
Wakil pemimpin utama kerajaan dan pembangkang dalam majlis Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik hari ini.

Wakil-wakil kerajaan dan pembangkang hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk mengembalikan kestabilan politik ketika negara berdepan dengan pandemik Covid-19.

Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik ditandatangani oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan pemimpin utama Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng serta pemimpin Upko Wilfred Madius Tangau.

Turut hadir dalam sesi tandatangan tersebut adalah Yang di-Pertua Dewan Negara Rais Yatim, Yang di-Pertua Dewan Rakyat Azhar Harun, Annuar Musa (Umno-Ketereh), Anthony Loke (DAP-Seremban), Saifuddin Nasution Ismail (PKR-Kulim Bandar Baharu), Salahuddin Ayub (Amanah-Pulai) dan Timbalan Presiden Upko Donald Peter Mojuntin.

Dalam sebuah kenyataan, Ismail berkata, cadangan transformasi tersebut adalah selaras dengan titah diraja Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah hari ini dalam sidang Parlimen.

“Titah hasrat Baginda Tuanku, semua pihak perlu mengamalkan demokrasi bermusyawarah dalam mencari penyelesaian kepada apa jua permasalahan demi mencapai matlamat Malaysia makmur,inklusif dan mampan,” katanya.

Dalam kenyataannya, memorandum tersebut turut menyenaraikan enam perkara termasuk; pemerkasaan pelan Covid-19, transformasi pentadbiran, pembaharuan Parlimen, kebebasan institusi kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 dan pembentukan jawatankuasa pemandu.

Menurutnya, kerajaan yakin memorandum persefahaman yang dizahirkan ini bukan sahaja berupaya mengenepikan segala perbezaan politik, bahkan mampu memastikan pemulihan negara berjalan secara holistik dan inklusif.

Semalam, kerajaan dan gabungan pembangkang utama Pakatan Harapan (PH) mencapai persetujuan yang akan memberikan kestabilan politik ketika negara terus berperang dengan Covid-19, dengan memorandum bersejarah akan ditandatangani kedua-dua pihak esok.

Dalam sebuah kenyataan, wakil kedua-dua pihak dalam berkata Memorandum Persefahaman untuk Transformasi dan Kestabilan Politik akan ditandatangani bagi memberi keutamaan kepada landskap politik yang baru melalui inisiatif-inisiatif transformasi dan pembaharuan terhadap tata kelola pentadbiran kerajaan, khususnya memperkasakan peranan institusi Parlimen.

Mereka berkata melalui beberapa pusingan rundingan antara Putrajaya dan PH, mereka bersetuju untuk melaksanakan pendekatan dwi partisan dalam usaha Malaysia memulihkan ekonomi negara daripada impak pandemik.

Pada Jumaat, Ismail berkata pentadbiran beliau sedia untuk melaksanakan beberapa pembaharuan institusi bagi memperkukuhkan peranan Parlimen, ia adalah cadangan yang mirip dengan apa yang ditawarkan pendahulu beliau Muhyiddin Yassin di hujung pentadbirannya bulan lalu.

Tawaran Ismail antara lain termasuk memastikan keseimbangan keanggotaan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen melibatkan ahli Parlimen kerajaan dan ahli Parlimen pembangkang, pelaksanaan Undi 18, rundingan bersama ahli Parlimen dan dipersetujui secara bersama sebelum pembentangan rang undang-undang dan ketua pembangkang akan diberikan saraan dan kemudahan yang setara dengan seorang menteri serta menghadkan 10 tahun penggal jawatan perdana menteri.

Pada 25 Ogos lalu, Ismail bertemu dengan pemimpin utama PH sebagai langkah yang dilihat mematuhi nasihatan istana supaya kerajaan yang baru ditubuhkan bekerjasama dengan pembangkang dalam usaha menangani pandemik Covid-19.

Pertemuan mereka itu bahkan menyaksikan sebuah kenyataan ditandatangani bersama yang jarang berlaku sebelum ini bagi mendapatkan titik persefahaman dalam usaha “menurunkan suhu kemelut politik” dalam negara.