- Iklan -
Berita

DAP giatkan kempen pro-Azalina

DAP berkata ia bersedia untuk memberi sokongan kepada ahli Parlimen Umno itu bagi menggantikan Azhar Azizan Harun sebagai speaker Dewan Rakyat.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Ahli Parlimen Pengerang Azalina Othman Said. Gambar: Bernama
Ahli Parlimen Pengerang Azalina Othman Said. Gambar: Bernama

DAP memberikan sokongan kuat kepada Ahli Parlimen Umno Azalina Othman Said dilantik sebagai speaker Dewan Rakyat, ketika ahli Parlimen Pengerang itu tidak memiliki sebarang peranan dalam kerajaan ketika ini selepas meletakkan jawatan sebagai timbalan speaker selain gagal menganggotai Kabinet.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng turut mendedahkan Timbalan Pengerusi DAP Gobind Singh Deo bertemu dengan Azalina, bagi memujuk beliau menerima pencalonan untuk menggantikan Azhar Azizan Harun sebagai speaker, menuduhnya menjadikan Parlimen sebagai perkakas kerajaan.

“DAP sanggup berbincang lanjut dengannya jika beliau serius untuk meletakkan namanya bagi menggantikan Azhar supaya imej dan kredibiliti Parlimen yang dicalarkan Azhar yang tunduk dkepada kuasa eksekutif,” kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.

Azalina dan ahli Parlimen DAP dilihat mesra selepas beliau menyertai kem Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan bekas perdana menteri, Najib Razak dalam menarik semula sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) diketuai Muhyiddin Yassin bulan lalu.

Ahli Parlimen Segambut dari DAP Hannah Yeoh secara terbuka berkempen untuk Azalina diberikan jawatan menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi portfolio hal ehwal undang-undang.

Azalina yang meletakkan jawatan sebagai timbalan speaker ketika kelompongan kuasa susulan Muhyiddin kehilangan majoriti di Dewan Rakyat, turut “membalas budi” dengan mencadangkan ahli Parlimen pembangkang bagi mengisi kekosongan jawatan tersebut.

Susulan kegagalan untuk menganggotai Kabinet Ismail Sabri Yaakob, pemimpin DAP melancarkan kempen baru supaya beliau dilantik sebagai speaker.

Semalam MalaysiaNow melaporkan langkah Umno untuk melantik Azalina sebagai speaker semakin sukar susulan “sokongan tidak rasmi” DAP kepadanya.

“Lobi sebahagian ahli Parlimen DAP sebagai sokongan kepada Azalina hanya menyebabkan peluangnya jadi semakin tipis,” kata seorang ahli Majlis Tertinggi Umno.

Dalam pada itu, difahamkan pemimpin Umno yang bersekutu dengan Zahid sedang berusaha untuk mengangkat Ahli Parlimen Pontian Ahmad Maslan bagi dilantik sebagai timbalan speaker.

Seperti Azalina, Ahmad juga merupakan salah seorang ahli Parlimen Umno yang patuh kepada Zahid dan Najib bagi menarik semula sokongan terhadap Muhyiddin.

Ahmad juga merupakan sebahagian pemimpin kerajaan Barisan Nasional sebelum ini yang digelar sebagai “kluster mahkamah”, yang kini berdepan pertuduhan mahkamah berhubung rasuah dan pengubahan wang.