- Iklan -
Berita

15,000 Orang Asli sudah divaksin di seluruh negara

Seramai 38,000 lagi Orang Asli sudah mendaftar sebagai penerima vaksin Covid-19 dan menunggu tarikh suntikan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Orang Asli mendapat vaksin menunjukkan kegembiraannya selepas proses suntikan. Gambar: Bernama
Orang Asli mendapat vaksin menunjukkan kegembiraannya selepas proses suntikan. Gambar: Bernama

Seramai 15,000 Orang Asli di seluruh negara sudah menerima suntikan vaksin Covid-19, hasil pelbagai kempen yang dijalankan untuk meningkatkan kesedaran mereka mengenai kepentingan suntikan tersebut.

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Abdul Rahman Mohamad berkata seramai 38,000 lagi Orang Asli sudah mendaftar sebagai penerima vaksin Covid-19 dan menunggu tarikh suntikan.

Beliau berkata peningkatan kadar pendaftaran dalam kalangan masyarakat tersebut dijayakan hasil usaha jabatan dan agensi kementerian itu yang turun padang memberi penerangan ke penempatan masyarakat Orang Asli di seluruh negara.

“Penjelasan yang tepat telah membantu meningkatkan jumlah pendaftaran penerima vaksin.

“Berkenaan tarikh suntikan yang akan diberi kepada masyarakat Orang Asli, penjadualan akan ditetapkan oleh pihak berkaitan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau Program Outreach Vaksinasi Covid-19 Komuniti Orang Asli di Kuala Betis hari ini.

Program Outreach Vaksinasi Covid-19 Komuniti Orang Asli itu dianjurkan oleh kementerian pembangunan luar bandar menerusi agensi di bawahnya iaitu Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar), Majlis Amanah Rakyat menerusi anak syarikatnya Mara Liner Sdn Bhd, Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) serta Pejabat Kesihatan Daerah Gua Musang.

Menerusi Program Outreach Vaksinasi Covid-19 Komuniti Orang Asli itu, Kesedar mengambil inisiatif menggunakan kenderaan agensi untuk membawa masyarakat sekitar pusat pemberian vaksin.

Turut hadir ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Galas Mohd Syahbuddin Hashim, Adun Nenggiri Ab Aziz Yusoff dan Adun Paloh Amran Ariffin.

Sementara itu, Penghulu Pos Blau Salleh Angah mengakui pada peringkat awal pengenalan mengenai vaksin tidak ramai Orang Asli yang setuju menerimanya kerana diselubungi perasaan takut.

Salleh berkata ia ditambah pula dengan pelbagai penyebaran berita yang tidak benar hingga pihaknya terpaksa menjelaskan perkara itu.

“Sekarang, mereka dah mula sedar dan membuat pendaftaran untuk menerima suntikan vaksin kerana ia dapat menangani wabak penyakit bahaya Covid-19,” katanya.