- Iklan -
Berita

DMDI gesa tentera pengaman PBB dihantar ke Gaza

DMDI berpandangan tindakan keganasan Israel itu perlu dihentikan segera.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Pertempuran antara warga Palestin dan pihak berkuasa Israel semakin memuncak ketika Israel meraikan ulang tahun kemenangan Perang Enam Hari 1967 yang menyaksikan Baitulmaqdis dijajah Israel. Gambar: AP
Pertempuran antara warga Palestin dan pihak berkuasa Israel semakin memuncak ketika Israel meraikan ulang tahun kemenangan Perang Enam Hari 1967 yang menyaksikan Baitulmaqdis dijajah Israel. Gambar: AP

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) menggesa agar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menghantar tentera pengaman ke Gaza bagi menghalang tentera Israel daripada terus melakukan serangan ke atas rakyat Palestin.

Presidennya, Mohd Ali Rustam berkata DMDI berpandangan tindakan keganasan Israel itu perlu dihentikan segera dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan ketenteraan Israel ke atas rakyat Palestin di Gaza.

“PBB dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) hendaklah segera bersidang menuntut Israel menghentikan segera keganasan ini yang melanggar hak asasi manusia untuk rakyat Palestin hidup aman damai dalam negara mereka sendiri.

“DMDI menuntut negara-negara besar segera mengenakan sekatan ekonomi ke atas Israel supaya Israel mendapat pengajaran terutamanya dalam menghormati hak asasi manusia dan rakyat Palestin dapat hidup dalam keadaan aman dan damai,” katanya dalam kenyataan di Melaka hari ini.

Ali yang juga Yang di-Pertua Negeri Melaka berkata DMDI juga menggesa kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat serta Kesatuan Eropah (EU), China dan Russia dapat memainkan peranan dengan memberikan tekanan antarabangsa terhadap Israel.