- Iklan -
Berita

Vaksinasi pekerja di tapak kilang belum dimulakan, kata Khairy

Ia hanya akan dilaksanakan selepas bekalan vaksin bagi Fasa Ketiga PICK mencukupi.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Bekalan vaksin dan ubat-ubatan bagi usaha melawan Covid-19 dipunggah di kilang Pharmaniaga. Vaksinasi pekerja kilang dengan skala besar hanya dilaksanakan selepas bekalan vaksin mencukupi.
Bekalan vaksin dan ubat-ubatan bagi usaha melawan Covid-19 dipunggah di kilang Pharmaniaga. Vaksinasi pekerja kilang dengan skala besar hanya dilaksanakan selepas bekalan vaksin mencukupi.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin hari ini menjelaskan program vaksinasi pekerja berkaitan sektor perkilangan dan perkhidmatan dengan skala besar hanya akan dilaksanakan selepas bekalan vaksin mencukupi untuk orang ramai pada Fasa Tiga Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Dalam bebenang akaun Twitter beliau hari ini, Khairy berkata langkah vaksinasi bagi sektor tersebut dalam skala sedemikian tidak akan dilakukan ketika bekalan vaksin masih kurang.

“Alasan program ini diwujudkan adalah bagi PICK menawarkan vaksinasi di kawasan kilang, tapak industri besar.

“Hal ini adalah bagi mengelakkan pekerja kilang hadir ke PPV, dan vaksinasi dapat dilakukan di lokasi berkenaan. Namun ini hanya akan bermula apabila vaksin untuk Fasa Tiga mencukupi,” katanya.

Beliau merujuk kepada Model Imunisasi Kerjasama Awam dan Swasta atau vaksinasi di lokasi di bawah PICK bagi sektor perkilangan dan perkhidmatan.

Model tersebut dikeluarkan dalam sebuah kenyataan yang dikeluarkan Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) pada 27 April lalu.

FMM berkata model imunisasi itu mengenakan syarat bilangan minimum 1,500 pekerja termasuk kontraktor atau pembekal yang bekerja di tapak lokasi dan mereka yang mendaftar vaksinasi melalui MySejahtera.

Kenyataan itu juga berkata pendaftaran untuk mengambil bahagian dalam model tersebut bermula pada 1 Mei.

Dalam catatan di Twitternya, Khairy yang juga menteri penyelaras PICK berkata program tersebut masih belum dimulakan.

“Jika anda melihat dengan teliti, ini hanya bagi menyatakan minat untuk jadi peserta imunisasi,” tambahnya.

Khairy turut menambah program bagi pekerja akan dimulakan melalui kerjasama awam-swasta di mana kilang akan membayar kos mendirikan pusat vaksinasi, sementara kerajaan pula menyediakan vaksin percuma melalui PICK.