- Iklan -
Berita

Persoal Umno putus dengan Bersatu, MIC ikrar sokong PM dalam PRU15

MIC sanggup korban kerusi dan turut menggesa Umno melakukan perkara yang sama demi memastikan kemenangan PRU15.

Siva Selan
2 minit bacaan
Kongsi
S Vigneswaran bersama pimpinan MIC dalam sidang media hari ini.
S Vigneswaran bersama pimpinan MIC dalam sidang media hari ini.

MIC hari ini menyuarakan kritikan terhadap tindakan Umno yang mengambil keputusan memutuskan hubungan dengan Bersatu bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang selain turut mendesak parti komponen Barisan Nasional (BN) melepaskan kerusi yang ditandingi mereka bagi memastikan kemenangan.

Berucap di Perhimpunan Agung MIC ke-74 di Kelang hari ini, presidennya, S Vigneswaran turut mempersoalkan keputusan Umno dalam perhimpunan agung parti itu untuk meninggalkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) minggu lalu.

Selain itu, Vigneswaran turut menggesa Umno untuk menamakan calon perdana menteri sebelum mengadakan rundingan kerusi pilihan raya dengan rakan-rakannya dalam BN.

Beliau juga mempersoalkan sama ada MIC harus menyokong langkah Umno untuk meninggalkan Bersatu.

“Jika ia membabitkan isu kerusi, maka perkara ini senang diselesaikan kerana Umno memaklumkan kepada MIC dan MCA bahawa kita harus mengorbankan beberapa kerusi kepada gabungan baru demi kemenangan PRU15” katanya.

Beliau menambah pada ketika ini, MIC hanya memiliki sembilan kerusi Parlimen dan sedang mempertimbangkan langkah terbaik bagi memastikan kemenangan BN dan kemungkinan 35% kerusi MIC perlu dikorbankan.

“Jikalau ini adalah nasihat dan kesimpulan Umno terhadap takdir MIC, maka apakah salah jikalau Umno bersedia juga untuk mengorbankan sekurang-kurangnya 10% dari kerusi mereka.”

Perhimpunan Agung MIC ke-74 diadakan di Kelang hari ini.

Selain itu, beliau turut menjelaskan bahawa MIC akan terus menyokong kepimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada pilihan raya akan datang.

“MIC pada masa sekarang akan menyokong kepimpinan YAB TSMY dan akan bekerjasama dengan parti Bersatu hingga suatu perkembangan baru dalam keputusan majlis tertinggi BN.

“Biar kita tunggu dan lihat pergerakan politik untuk jangka masa terdekat ini.”

Justeru, katanya, adalah penting untuk kepimpinan BN mencapai kata sepakat dengan PN mencari satu formula terbaik untuk mengelakkan pertembungan antara parti-parti kerajaan, khususnya dalam pembahagian kerusi pilihanraya.

“Pastinya perlu ada sedikit pengorbanan dalam kalangan parti-parti dalam kedua-dua gabungan ini untuk mengelakkan pertembungan sesama sendiri di dalam pilihanraya demi mencapai matlamat yang lebih besar untuk membentuk kerajaan yang stabil dan melonjak kembali ekonomi negara yang terpincang akibat pandemik Covid-19,” katanya.

Awal minggu ini, Naib Presiden MIC Sivarraajh Chandran turut dilihat mempertikaikan sayap Puteri Umno yang mahu MIC memberi laluan kepada Umno untuk bertanding di Parlimen Sungai Siput, satu kerusi yang diperuntukkan kepada MIC secara tradisi.

Beliau turut mengingatkan pimpinan tertinggi Umno supaya jangan terlalu sombong dan “syok sendiri” selain turut menggesa parti itu menamakan calon perdana menteri bagi PRU15.

“Jika kamu akan berperang, kamu memerlukan kapten.

“Wajah siapa yang akan menghiasi poster untuk BN? Ini perlu diselesaikan. Kita tidak boleh bertanding pilihan raya dengan bendera tanpa kapten.”