- Iklan -
Berita

Tiga pekerja media Afghanistan ditembak mati

Ketiga-tiga wanita itu sedang pulang dari pejabat ketika kejadian.

AFP
2 minit bacaan
Kongsi
Perang di Afghanistan tidak kunjung reda dengan kemunculan pelbagai kumpulan pengganas. Gambar: AFP
Perang di Afghanistan tidak kunjung reda dengan kemunculan pelbagai kumpulan pengganas. Gambar: AFP

Tiga petugas media wanita terbunuh selepas ditembak di Afghanistan, lapor rangkaian media negara itu.

Petugas media menjadi sasaran terkini puak pengganas yang menyerang kawasan-kawasan bandar negara itu.

Wartawan, tokoh agama, aktivis dan hakim menjadi mangsa siri pembunuhan politik sejak kebelakangan ini. Ekoran itu, ramai dalam kalangan mereka mengambil keputusan untuk bersembunyi atau melarikan diri dari Afghanistan.

Serangan pada Selasa itu berlaku di dua kawasan berasingan Jalalabad, kata Zalmai Latifi, pengarah Enikass TV, sebuah agensi televisyen tempat ketiga-tiga mangsa bekerja.

“Mereka pulang berjalan kaki dari pejabat agensi ketika ditembak,” kata Latifi kepada AFP.

Jurucakap hospital Nangarhar, Zahir Adel turut mengesahkan jumlah mangsa tersebut.

Kumpulan Daesh Afghanistan mengakui bertanggungjawab di atas serangan tersebut dengan menyifatkan “wartawan-wartaman itu bekerja untuk salah satu stesen media yang setia kepada kerajaan Afghanistan yang telah murtad”.

Pembunuhan yang menyasarkan pimpinan masyarakat meningkat sejak rundingan damai dimulakan tahun lalu di antara kerajaan Afghanistan dan Taliban.

Pihak berkuasa Afghanistan dan Amerika Syarikat menyalahkan Taliban atas gelombang keganasan yang disaksikan kebelakangan ini. Namun kumpulan itu menolak tuduhan tersebut.

Jurucakap Taliban juga menafikan ia terlibat dalam serangan tersebut.

Serangan terbaru itu berlaku selepas utusan khas Amerika Syarikat (AS) ke Afghanistan Zalmay Khalilzad kembali ke Kabul minggu ini untuk bertemu pemimpin Afghanistan.

Ketibaan Khalilzad menandakan lawatan pertama ke Afghanistan sejak Presiden AS Joe Biden mengangkat sumpah Januari lalu dan meminta beliau untuk meneruskan usaha rundingan damai.

Bagaimanapun, ramai penganalisis berpendapat masa depan Amerika di Afghanistan di bawah Biden masih kabur. Ia berikutan kenyataan Rumah Putih yang mengumumkan rancangan untuk mengkaji semula perjanjian pengunduran tenteranya yang dimeterai tahun lalu.

Sebilangan pemerhatimemberi amaran bahawa penarikan diri AS dari negara itu akan menimbulkan kekacauan yang lebih besar di negara yang puluhan tahun berdepan peperangan.