- Iklan -
Berita

Suhakam gesa Putrajaya beri vaksin Covid-19 percuma tanpa diskriminasi kewarganegaraan

Suhakam berkata, hak kepada kesihatan adalah hak asasi yang sepatutnya dinikmati oleh semua.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Suhakam berkata, wabak Covid-19 tidak mendiskriminasi untuk menjangkiti sesiapa sahaja. Gambar: AP
Suhakam berkata, wabak Covid-19 tidak mendiskriminasi untuk menjangkiti sesiapa sahaja. Gambar: AP

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menggesa Putrajaya memberikan vaksin Covid-19 secara percuma kepada semua termasuk golongan rentan, pelarian, migran, orang tanpa kewarganegaraan, tahanan dalam pusat tahanan dan banduan dalam penjara tanpa diskriminasi berdasarkan status kewarganegaraan mereka.

Suhakam berkata, hak kepada kesihatan adalah hak asasi yang sepatutnya dinikmati oleh semua dan akses kepada penjagaan kesihatan, termasuk vaksin adalah satu aspek penting bagi hak kepada kesihatan.

“Golongan rentan, pelarian, pekerja migran dan pekerja tanpa dokumen dan orang tanpa kewarganegaraan menghadapi risiko dipinggirkan dalam sistem kesihatan sedia ada atas pelbagai sebab termasuk status dan kewarganegaraan mereka, dan ketidakmampuan untuk menanggung kos penjagaan kesihatan,” kata suruhanjaya itu dalam satu kenyataan semalam.

“Dilaporkan bahawa terdapat lebih kurang 2.5 juta pekerja migran berdokumen di negara ini, dan ini tidak termasuk bilangan pekerja migran tanpa dokumen kerana tiada data yang jelas tentang perkara ini”.

Sebelum ini Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata, Malaysia dijangka menerima bekalan vaksin Pfizer untuk fasa pertama pada hujung Februari ini.

Kementerian kesihatan dilaporkan sebelum ini akan melakukan program imunisasi Covid-19 kebangsaan mengikut tiga fasa iaitu barisan hadapan, kumpulan rentan dan orang awam berumur 18 tahun ke atas.

Suhakam berkata, wabak Covid-19 tidak mendiskriminasi untuk menjangkiti sesiapa sahaja dan memberikan kesan kepada semua termasuk golongan rentan.

“Tambahan pula, terdapat kes jangkitan Covid-19 di pusat tahanan dan penjara.

“Oleh itu, adalah penting agar perkara ini dipertimbangkan apabila kerajaan mengagihkan vaksin Covid-19”.

Suhakam berkata, mereka mengambil maklum tentang beberapa laporan berita pada minggu pertama Januari 2021 yang menyatakan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) merancang untuk mencadangkan agar vaksinasi percuma diberikan kepada pekerja migran dalam negara.

“Suhakam berharap JKJAV akan memperhalusi perkara ini dan memastikan agar vaksinasi percuma diberikan kepada semua termasuk pekerja migran, pekerja tanpa dokumen, pelarian, orang tanpa kewarganegaraan, tahanan dalam pusat tahanan dan banduan dalam penjara.

“Menurut perkembangan yang dimaklumkan oleh kerajaan pada bulan Disember 2020, bekalan vaksin Covid-19 pada masa ini akan membolehkan 82.8% rakyat Malaysia menerima vaksin tersebut”.