- Iklan -
Berita

Anwar dakwa ‘majoriti’ ahli Parlimen tulis surat kepada Agong, kata kerajaan gagal kawal Covid-19

Presiden PKR itu juga dilihat menyokong cadangan bekas perdana menteri, Najib Razak untuk menutup penuh sektor kilang dan pembinaan.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Presiden PKR Anwar Ibrahim. Gambar: Bernama
Presiden PKR Anwar Ibrahim. Gambar: Bernama

Presiden PKR Anwar Ibrahim mendakwa “majoriti ahli Parlimen” daripada kerajaan dan pembangkang sudah menulis surat kepada Istana Negara, lebih seminggu selepas melancarkan kempen menggesa ahli-ahli Parlimen menulis warkah kepada Agong untuk membatalkan darurat.

“Kerajaan tidak memberikan respons, tetapi hanya memberikan gambaran kami mempersoalkan keputusan Agong.

“Mereka cuba bersembunyi di belakang Istana,” katanya dalam sesi secara langsung di Facebook.

Anwar turut mengumumkan akan memfailkan afidavit untuk membantah penggantungan Parlimen semasa tempoh darurat.

Katanya afidavit itu bukan mengenai gesaan membatalkan darurat, tetapi bagi menghentikan tuduhan mengenai dakwaan beliau mempersoalkan kuasa Pelembagaan Agong.

“Saya percaya pihak Istana dapat meneliti tidak mudah dipermainkan dalam simpang-siur dan sepak terajang politik,” katanya.

MalaysiaNow belum dapat mengesahkan dakwaan tersebut.

Pada 14 Januari, Anwar memberitahu ahli Parlimen bahawa tindakan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengisytiharkan darurat Covid-19 tidak sah, dan mengatakan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sudah mencukupi untuk memerangi pandemik itu.

Katanya Agong perlu membatalkan pengisytiharan darurat itu dan mengarahkan sesi Parlimen diadakan pada hujung bulan ini.

Anwar juga menyediakan draf surat untuk digunakan oleh ahli-ahli Parlimen apabila mereka menulis ke Istana, dan menyuruh mereka untuk berbuat demikian pada 15 Januari.

‘Kenapa tiada PKP menyeluruh?’

Sementara itu, Anwar kelihatan seolah-olah menyokong bekas perdana menteri Najib Razak untuk menutup penuh sektor perkilangan dan pembinaan, serta menuduh pihak berkuasa tidak konsisten dalam melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang pandemik Covid-19 di sektor perindustrian.

“Cara kerajaan mengendalikan PKP sejak berlaku penularan selepas pilihan raya Sabah sama sekali tidak teliti dan konsisten,” katanya.

Semalam, Najib mengatakan kerajaan perlu melarang operasi kilang dan sektor pembinaan bagi menghalang lonjakan kes jangkitan harian.

Anwar yang merujuk kepada dakwaan Dewan Perdagangan dan Perindustrian Kesatuan Eropah-Malaysia (Eurocham) ketika mesyuarat dengan wakil kerajaan akan menutup ekonomi serta-merta sekiranya jangkitan Covid-19 terus meningkat.

Eurocham kemudian menjelaskan tiada cadangan tersebut disuarakan ketika mesyuarat itu berlangsung, selepas beberapa media membuat laporan mengenai surat yang dikeluarkan oleh dewan itu kepada ahlinya.

Namun, Anwar mengatakan surat itu dengan jelas menunjukkan kerajaan mengambil risiko mencetuskan lebih banyak jangkitan dengan membenarkan industri terus beroperasi sepanjang PKP.

“Di bawah kepura-puraan apa, kerajaan percaya pelaksanaan PKP ketika ini yang tidak secara spesifik menutup sektor-sektor tersebut mampu mengurangkan penularan Covid-19?

“Tiada penjelasan yang jelas dengan membiarkan sektor paling mudah dijangkiti dibuka hanya akan menyebabkan PKP dilaksanakan lebih lama mensia-siakan usaha berjuta-juta rakyat negara ini bagi mengekang penularan,” katanya.

Pada masa sama, Anwar menyelar Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz di atas kenyataan PKP tidak akan memberikan kesan besar pada ekonomi, dengan mengatakan ia “mengelirukan”, “tidak bertanggungjawab” dan “tak lebih daripada satu pembohongan”.