- Iklan -
Berita

16 bekas ahli Umno cabar keputusan RoS, bukan parti itu

Mereka mencabar keputusan RoS atas alasan pelanjutan masa yang diberikan dicemari dengan kepenyalahan undang-undang, keadaan tidak rasional dan prosedur yang salah.

Bernama
3 minit bacaan
Kongsi
Seorang lelaki berjalan melintasi ibu pejabat Umno di Kuala Lumpur.
Seorang lelaki berjalan melintasi ibu pejabat Umno di Kuala Lumpur.

Enam belas bekas ahli Umno mencabar keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) yang memberikan pelanjutan masa untuk mengadakan pemilihannya dan bukan keputusan parti politik itu, panel lima hakim Mahkamah Persekutuan diberitahu hari ini.

Peguam mereka Haniff Khatri Abdulla berhujah bahawa kesemua ahli Umno terbabit bukan mencabar keputusan dalaman parti politik itu secara langsung.

Beliau berkata kumpulan itu mencabar keputusan RoS atas alasan pelanjutan masa yang diberikan dicemari dengan kepenyalahan undang-undang, keadaan tidak rasional dan prosedur yang salah.

Haniff berhujah bahawa hakim Mahkamah Tinggi dan panel hakim Mahkamah Rayuan menyalahletakkan kebergantungan terhadap Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966.

Mahkamah Tinggi menolak permohonan 16 bekas ahli Umno terbabit untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman mencabar kesahan parti politik itu atas alasan Seksyen 18C menyatakan bahawa seorang ahli tidak boleh membawa pertikaian berkaitan parti ke mahkamah.

Bekas ahli Umno terbabit ialah Salihudin Ahmad Khalid, Noorhalimi Yahya, Mariam Mohd Ishak, Mohd Hafami Hanif, Saharudin Tukiman, Azaid Jani, Normalawati Hassan, Radiana Abd Manaf, Mohd Rafeek Rahim, Nurul Hanna Mohd Suhot, Kamarul Abd Wahid, Mohd Hikamal Md Hassim, Muzamzamir Abd Wahab, Norizam Jamaludin, Rohani Ahmad dan Muhamad Hafizi Hashim.

Haniff juga berkata Seksyen 18C tidak terpakai dalam kes ini kerana ia tidak membabitkan keputusan RoS dan hanya terpakai kepada keputusan parti politik.

Terdahulu, panel Mahkamah Persekutuan yang diketuai Hakim Besar Malaya Azahar Mohamed membangkitkan isu sama ada keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan adalah betul dari segi fakta apabila bergantung kepada Seksyen 18C serta sama ada seksyen itu relevan dengan persoalan undang-undang yang terdapat dalam rayuan ini.

Turut bersidang Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Abdul Rahman Sebli, Hasnah Mohammed Hashim, Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Rhodzariah Bujang. Prosiding itu berlangsung menerusi aplikasi Zoom.

Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan pula berhujah perayu sebenarnya mencabar keputusan parti politik itu sambil menambah permohonan itu dibuat bagi melangkau Seksyen 18C.

Mahkamah turut mendengar hujah berhubung isu locus standi (atau hak perundangan) bekas ahli Umno terbabit untuk memfailkan semakan kehakiman dan sama ada perkara itu bersifat akademik.

Mohd Hafarizam Harun, yang mewakili Ab Rauf Yusoh, berhujah bahawa isu yang dibangkitkan perayu berhubung keputusan anak guamnya yang memberikan pelanjutan masa bagi mengadakan pemilihan parti tidak lagi wujud kerana ia dijalankan di semua peringkat pada Jun 2018.

Kesemua 16 bekas ahli Umno telah memfailkan permohonan untuk kebenaran memulakan semakan kehakiman dan menamakan RoS serta Ab Rauf, dalam kapasiti beliau sebagai penjawat awam, selaku responden.

Beliau berkata oleh itu, remedi daripada mahkamah tidak lagi diperlukan kerana ia akan menjejaskan semua pihak dalam parti tersebut dan menambah bahawa kesemua perayu tidak mempunyai locus standi kerana keahlian mereka telah ditamatkan.

Kesemua 16 bekas ahli Umno telah memfailkan permohonan untuk kebenaran memulakan semakan kehakiman dan menamakan RoS serta Ab Rauf, dalam kapasiti beliau sebagai penjawat awam, selaku responden.

Antara lain, mereka memohon perintah certiorari bagi membatalkan keputusan RoS seperti yang diumumkan menerusi kenyataan media bertarikh 5 Mac 2018 dalam memberikan Umno pelanjutan masa untuk mengadakan pemilihan parti sehingga 19 April 2019, yang melepasi tempoh maksimum.

Mereka selanjutnya memohon perintah mandamus bagi memaksa RoS membubarkan sementara Umno dan menggantung semua aktiviti parti itu sehingga semakan kehakiman tersebut selesai.

Pada 27 April 2018, Mahkamah Tinggi menolak permohonan kumpulan itu untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman dan mereka juga gagal di peringkat Mahkamah Rayuan pada November 2018.

Tahun lepas, Mahkamah Persekutuan memberikan kebenaran kepada mereka untuk meneruskan rayuan berhubung dua persoalan perundangan.

Mahkamah itu akan menetapkan tarikh lain untuk menyambung pendengaran rayuan tersebut dan semua pihak diarah memasukkan hujah tambahan berhubung isu sama ada Seksyen 18C terpakai dalam semakan kehakiman berkenaan.