- Iklan -
Berita

Covid-19 terlalu besar untuk ditangani Noor Hisham seorang, kata Dr Mahathir

Sudah sampai masa kerajaan berbincang dengan doktor-doktor pakar untuk menangani wabak itu dengan lebih berkesan.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad.
Bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad.

Pandemik Covid-19 terlalu besar untuk ditangani oleh Ketua Pengarah Kesihatan Noor Hisham Abdullah seorang, kata bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, sudah sampai masa kerajaan berbincang dengan doktor-doktor pakar untuk menangani wabak itu dengan lebih berkesan.

“Sesungguhnya ada banyak cara dan amalan yang boleh kurangkan jumlah jangkitan. Diharap doktor-doktor pakar dapat berbincang dengan pegawai kerajaan,” kata Mahathir dalam tulisan di blognya hari ini.

“Khidmat pengarah kesihatan amat dihargai. Tetapi wabak ini agak terlalu besar untuk ditangani oleh seorang sahaja”.

Menurut Mahathir, seorang daripada ahli keluarganya baru-baru ini dijangkiti Covid-19 tetapi tidak dimasukkan ke hospital kerana tidak terlalu teruk.

“Sebaliknya ia diarah kuarantin di rumahnya. Tetapi semasa di rumah keadaannya menjadi teruk sehingga tidak dapat bernafas. Maka dia pun dimasuk ke hospital,” katanya.

Katanya, semasa berada berada di rumah, ahli rumah kepada ahli keluarganya itu pula dijangkiti Covid-19.

“Saya percaya ia tidak dapat dimasuk hospital awal kerana jumlah yang dijangkiti terlalu ramai. Tiap hari 4,000 dikesan.

“Namun demikian, jika pesakit berada di rumah, ahli keluarga akan dijangkiti. Maka lebih ramailah yang terjangkit. Sepatutnya mereka dimasuk ke dalam kuarantin berasingan dari keluarga,” katanya.

Mahathir berkata, tempat kuarantin yang disediakan kerajaan perlulah bersesuaian.

“Dari gambar yang diperolehi katil-katil terlalu dekat dan apabila ada lawatan pembesar pesakit akan berkumpul. Ini akan menyebabkan jangkitan merebak,” katanya.