- Iklan -
Berita

WhatsApp paksa pengguna terima kemas kini terma untuk terus guna aplikasi

Jika pengguna tidak bersetuju dengan terma baru perkhidmatan, bermaksud tiada lagi akses perkhidmatan.

AFP
2 minit bacaan
Kongsi
Aplikasi WhatsApp. Gambar: AFP
Aplikasi WhatsApp. Gambar: AFP

Aplikasi pesanan telefon pintar terkemuka WhatsApp meminta kira-kira dua bilion penggunanya pada Khamis untuk menerima terma baru perkhidmatan bagi membolehkan ia berkongsi lebih banyak maklumat dengan syarikat induknya Facebook dan membenarkan pengiklanan dan e-dagang.

Kemas kini aplikasi tersebut mencetuskan kritikan dalam kalangan pengguna kerana mereka mesti bersetuju dengan perubahan tersebut atau akses kepada perkhidmatan seperti panggilan video dan pesanan suara akan dihentikan mulai 8 Februari ini.

Facebook mahu mengaut keuntungan melalui WhatsApp dengan membenarkan perniagaan menghubungi para pelanggan menerusi platform tersebut, bahkan menjual produk secara langsung menggunakan aplikasi itu sebagaimana yang sudah dilakukan di India.

“Polisi privasi dan kemas kini terma adalah perkara biasa dalam industri dan kami memberikan notis awal kepada pengguna  untuk mengkaji perubahan yang akan pada bermula 8 Februari,” kata seorang jurucakap Facebook.

“Semua pengguna perlu bersetuju dengan syarat baru jika mereka mahu terus menggunakan WhatsApp,” tambah jurucakap itu.

Firma itu mengatakan syarat-syarat baru tersebut akan membolehkan perkongsian maklumat tambahan antara WhatsApp dengan Facebook dan aplikasi lain seperti Instagram dan Messenger, termasuk kenalan dan data pengguna tetapi bukan kandungan perbualan yang kekal sulit.

Di Kesatuan Eropah (EU) dan Britain, syarat baru perkhimatan hanya membolehkan kemas kini fungsi untuk pengguna profesional WhatsApp Business, kata jurucakap syarikat kepada AFP.

Peguam memberi amaran kemas kini perkhidmatan itu tidak sah.

“Satu-satunya cara untuk menolak pengubahsuaian itu adalah berhenti menggunakan WhatsApp, persetujuan itu dibuat secara paksa kerana penggunaan data peribadi tidak sah,” kata Arthur Messaud, seorang peguam daripada La Quadrature du net, sebuah persatuan yang membela pengguna internet.

Facebook menerima tekanan daripada pengawal selia dalam cubaan mengintegrasikan perkhidmatannya.

Sebelum ini, EU mendenda syarikat media sosial gergasi itu sebanyak €110 juta (AS$ 120 juta) kerana memberi maklumat tidak benar dan mengelirukan berhubung pengambilalihan WhatsApp pada tahun 2014 berhubung kemampuan untuk menghubungkan akaun antara kedua perkhidmatan tersebut.

Pengawal selia persekutuan dan negeri di AS menuduh Facebook menggunakan pengambilalihan WhatsApp dan Instagram untuk mengenepikan persaingan dan mengemukakan tuntutan undang-undang anti monopoli bulan lalu yang bertujuan memaksa syarikat itu melucutkan pemilikannya.