Monday, November 29, 2021

Dari hubungan sulit ke jenjang pelamin

Najib Razak nampaknya amat arif mengenai kami, berbanding duit yang masuk dalam akaun bank peribadinya.

Other News

MalaysiaNow sudah masuk bulan keenam operasinya.

Tempoh enam bulan ini adalah tempoh yang pendek bagi sesebuah organisasi, walaupun di saat ekonomi yang sangat mencabar ketika ini.

Namun dari sudut pemberitaan politik, ia boleh dikatakan cukup dalam memperlihatkan perubahan yang begitu besar.

Misalnya, hubungan yang dulu dibuat secara sulit, kini diraikan sebagai sebuah pernyataan cinta yang terbuka.

Secara spesifik, kami merujuk surat sokongan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan bekas bosnya, Najib Razak, untuk Anwar Ibrahim.

Bercerita mengenai ketiga-tiga tokoh ini; seorang sedang berjuang di mahkamah untuk mengelak menjadi banduan, seorang lagi sudah disabitkan bersalah, dan yang ketiga merupakan bekas banduan.

Ketika kami mendedahkan surat kepada Istana Negara itu pada Oktober lalu, antara serangan paling hebat datangnya dari Najib dan pengikut-pengikut taksub beliau.

Namun hari ini, sudah tak ada lagi tabir penghalang untuk ketiga-tiga mereka menyatakan bahawa gandingan mereka adalah tawaran terbaik untuk negara.

Bekas perdana menteri merasakan ia tanggungjawab beliau, menggunakan masa dan tenaganya, untuk merungkai aspek kewangan dan organisasi MalaysiaNow.

Hujung minggu baru-baru ini, Najib membuat kiriman tangkap layar laman web kami, siap dengan butiran identiti pemiliknya.

Sukar juga hendak percaya, inilah orang yang pernah mengatakan dia tidak sedar jutaan dolar dipindah masuk ke dalam akaun bank peribadinya.

Untuk mengetahui pemilikan sesebuah syarikat bukanlah sukar; apa yang perlu adalah sedikit bayaran kepada Suruhanjaya Syarikat, atau klik saja bahagian “About Us” di laman web syarikat itu.

Tetapi untuk mengetahui sama ada wang masuk dalam akaun bank peribadi kita tidak memerlukan apa-apa usaha. Malah, ia percuma.

Sudah jadi kebiasaan untuk orang kebanyakan yang bekerja siang malam memeriksa akaun bank mereka setiap minggu, atau sekurang-kurangnya pada akhir bulan. Setiap wang masuk tak akan pernah dilepas pandang, manakala wang keluar pula sengaja tidak dipandang.

Najib gagal melepaskan diri daripada kes-kes berkait skandal SRC International bernilai RM42 juta beralaskan hujah itu. Dia didapati bersalah atas semua tujuh pertuduhan salah guna kuasa berkaitan wang tersebut.

Bagi seorang yang menjadi tajuk besar berita dunia kerana terlibat dalam sebuah skandal kewangan yang pernah disifatkan pihak berkuasa Amerika Syarikat sebagai yang terbesar di negara itu, ia memerlukan keberanian luar biasa untuk mengajar orang lain cara menangani krisis kewangan Covid-19.

Usahanya untuk kembali ke persada kuasa menerima dukungan pengikut setianya yang sentiasa memberi sorakan setiap kali memuat naik status di media sosial, tanpa dipedulikan kebenaran fakta yang disogokkan.

Dalam dua minggu yang lalu, Najib menyatakan kritikan beliau terhadap usaha kerajaan memerangi Covid-19 dengan bersandarkan putar belit fakta.

Tetapi versi beliau sering tidak dicabar, kecuali respons balas dari Khairy Jamaluddin baru-baru ini terhadap tuduhannya bahawa kerajaan ketinggalan dalam jadual vaksinasi Covid-19.

Sekali lagi, inilah orang sama yang satu masa dulu bergegas mahu meluluskan undang-undang “lawan berita palsu”, ketika ia tidak langsung diperlukan.

Begitulah sikap ahli politik, sama ada di Facebook, Twitter atau platform digital lain. Mereka terangsang dengan sorakan pengikut mereka yang lebih banyak menghabiskan masa menekat butang “like” daripada membuat carian Google untuk menyiasat kebenaran sesuatu perkara.

Enam bulan lalu, kami berazam melaporkan berita sebagaimana adanya, tanpa mempertahan mana-mana orang politik, parti politik atau pihak berkepentingan.

Dalam melakukannya, kami memastikan untuk kekal di belakang kamera.

Kami sedar, ia bukan sesuatu yang mudah dilakukan, bila mana ahli politik menghasut orang awam terhadap wartawan dan organisasi berita (tanpa menerima respons pantas daripada golongan “aktivis kebebasan akhbar”).

Ingatlah, apabila kamera difokuskan ke arah kami, kami merasa bertanggungjawab untuk mendedahkan orang di belakang lensa itu.

Dan itulah yang akan kami laksanakan pada minggu-minggu yang akan datang.

Abdar Rahman Koya adalah Ketua Pegawai Eksekutif & editor MalaysiaNow.    

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles