- Iklan -
Berita

Tiada perbincangan sokong Ismail jadi presiden Umno, kata Annuar Musa

Annuar berkata, buat masa ini tumpuan diberikan untuk melaksanakan tugas.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa pada sidang media selepas melancarkan Logo dan Tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2022 di Auditorium Perdana Angkasapuri pada 1 Julai, 2022. Gambar: Bernama
Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa pada sidang media selepas melancarkan Logo dan Tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2022 di Auditorium Perdana Angkasapuri pada 1 Julai, 2022. Gambar: Bernama

Ketua Umno Bahagian Ketereh Annuar Musa berkata tiada perbincangan mengenai barisan kepimpinan tertentu dalam parti yang menyokong Naib Presiden Ismail Sabri Yaakob bertanding jawatan presiden parti itu.

“Kami tidak pernah membincangkan perkara ini, saya tahu ada orang yang menyebarkan barisan kepimpinan itu.

“Saya rasa kami mempunyai banyak masa untuk memikirkan semua perkara itu tetapi kami tidak pernah duduk bersama dan membincangkan mengenai kedudukan barisan pemimpin dan pertandingan.

“Kami mempunyai masa yang amat terhad dan banyak tugas yang perlu dilaksanakan,“ katanya kepada pemberita ketika ditanya mengenai satu poster senarai kepimpinan baru Umno tersebar di media sosial yang dinamakan “Saf Kepimpinan Umno Selepas Pemilihan”.

Poster itu antara lain memaparkan Ismail sebagai presiden dan Annuar sebagai timbalan presiden manakala Hishammuddin Hussein, Mahdzir Khalid dan Khairy Jamaluddin sebagai naib presiden.

Annuar berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Anugerah Penghargaan Industri Ekonomi Digital Malaysia Sempena Sambutan Jubli Perak Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), di Kuala Lumpur semalam.

Ketika ditanya mengenai pelantikan timbalan perdana menteri dan menteri seperti yang diutarakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin semasa mengadakan pertemuan dengan perdana menteri, Annuar berpandangan permintaan pelantikan itu tidak salah.

Bagaimanapun, menteri Komunikasi dan multimedia itu berkata ia terpulang kepada perdana menteri untuk membuat keputusan.

“Saya rasa tak salah untuk meminta…tapi asasnya adalah pelantikan timbalan perdana menteri dan menteri adalah prerogatif perdana menteri,” katanya.