- Iklan -
Berita

Tahanan tertua Palestin, maut dalam penjara Israel

Punca sebenar kematian masih belum diketahui.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Tentera Israel melakukan pemeriksaan di sekitar Nablus, Tebing Barat. Gambar: AP
Tentera Israel melakukan pemeriksaan di sekitar Nablus, Tebing Barat. Gambar: AP

Seorang tahanan wanita warga Palestin berusia 68 tahun meninggal dunia di penjara Israel pagi Sabtu dan punca sebenar kematian masih belum diketahui, menurut kenyataan Pertubuhan Kelab Tahanan Palestin.

Sa’deya Farajallah, ibu kepada lapan anak berasal dari bandar Hebron, Tebing Barat itu meninggal dunia di penjara Damon di utara Israel, lapor Xinhua.

Farajallah merupakan tahanan wanita tertua dan ditahan ketika cuba menikam tentera Israel berhampiran Masjid Ibrahimi, Hebron pada Disember 2021.

Pihak berkuasa Israel masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenai kejadian itu.

Perkhidmatan Penjara Israel memaklumkan, Farajallah menghidap penyakit kronik dan menerima rawatan berkala di hospital dan kembali ke penjara pada minggu ini.

Siasatan sudah dijalankan berhubung punca kematiannya.

Tayseer Farajallah, merupakan adik lelaki Sa’deya, memberitahu Xinhua bahawa kakaknya tidak mengalami sebarang penyakit dan mendakwa “Sa’deya diseksa dalam penjara” serta “pihak penjara mengabaikan dirinya tanpa diberi rawatan yang sewajarnya.”

Dia berkata “ahli keluarga tidak dibenarkan melawatnya dengan memberikan pelbagai alasan,” menuduh pihak berkuasa Israel “bertanggungjawab sepenuhnya” atas kematian Sa’deya dan menuntut agar bedah siasat dilakukan bagi mengenalpasti punca utama kematiannya.

Perdana Menteri Palestin Mohammed Ishtaye turut menuntut agar pihak berkuasa Israel bertanggungjawab sepenuhnya atas kematian Farajallah akibat kecuaian perubatan, menyeru jawatankuasa hak asasi manusia antarabangsa untuk menjalankan siasatan dan memberi tekanan kepada Israel supaya membebaskan semua tahanan wanita, terutama yang sakit dan kanak-kanak.

Kematian Farajallah menjadikan jumlah tahanan Palestin yang mati di penjara Israel sejak 1967 mencecah 230, lapor Agensi Berita Rasmi Palestin WAFA.

Menurut Suruhanjaya Hal Ehwal Tahanan dan Bekas Tahanan Pertubuhan Pembebasan Palestin, kira-kira 500 tahanan yang sakit berada dalam penjara Israel, dengan hampir 50 kes memerlukan rawatan khas.

Ikuti kami di Telegram untuk kemas kini terkini: https://t.me/malaysianowbm

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi

Artikel Berkaitan

Tiada artikel ditemui.