- Iklan -
Berita

Pimpinan Umno perlu cari jalan harmonikan semula parti

Umno seharusnya mengurangkan kegawatan dalam parti sebaliknya memperkukuh solidariti dan terus fokus dalam memberikan khidmat kepada rakyat.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa pada sidang media selepas melancarkan Logo dan Tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2022 di Auditorium Perdana Angkasapuri pada 1 Julai, 2022. Gambar: Bernama
Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa pada sidang media selepas melancarkan Logo dan Tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2022 di Auditorium Perdana Angkasapuri pada 1 Julai, 2022. Gambar: Bernama

Pucuk pimpinan Umno perlu mencari jalan untuk mengharmonikan semula parti selepas pendedahan mengenai wujudnya akuan berkanun (SD) daripada Ahli Parlimen Umno untuk menyokong Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri.

Ketua Umno Bahagian Ketereh Annuar Musa berkata dalam keadaan negara menghadapi isu harga barang, Umno seharusnya mengurangkan kegawatan dalam parti sebaliknya memperkukuh solidariti dan terus fokus dalam memberikan khidmat kepada rakyat.

“Saya fikir sekarang ini elok kurangkan kegawatan, pucuk pimpinan harus cari jalan harmonikan keadaan.

“Dari terus serang-menyerang dan terus-menerus gawat, kalau boleh saya cadangkan harus ada pihak ambil tindakan uruskan hal ini, dan tidak membincangkan ia secara terbuka,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Logo dan Tema Hari Kebangsaan 2022 di Kuala Lumpur hari ini.

Annuar yang merupakan menteri komunikasi dan multimedia berkata demikian ketika ditanya mengenai pendedahan bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Tajuddin Abdul Rahman yang juga ahli Parlimen Pasir Salak itu pada satu sidang media khas selepas digugurkan daripada MKT Umno pada 24 Jun.

Ditanya sama ada beliau menandatangani SD berkenaan, Annuar berkata: “Saya tidak terlibat”.

Sementara itu, Annuar menafikan laporan media mengenai mengenai Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ada dibincangkan pada mesyuarat Kabinet.

“Palsu!. Sebagai menteri komunikasi saya boleh jawab dengan ringkas, ia adalah palsu,” katanya.

Beliau berkata mesyuarat Kabinet yang diadakan setiap minggu hanya membincangkan soal berkaitan negara dan kebajikan rakyat.