- Iklan -
Berita

Permohonan Irwan Siregar, Arul Kanda batal saman AS$6.59 bilion 1MDB didengar 19 Oktober

Tarikh baru itu ditetapkan selepas pihak defendan dan plaintif bersetuju untuk dua permohonan itu didengar serentak.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas ketua setiausaha perbendaharaan Irwan Serigar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Beliau dan Najib Razak akan dibicarakan di mahkamah berhubung skandal IPIC. Gambar: AP
Bekas ketua setiausaha perbendaharaan Irwan Serigar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Beliau dan Najib Razak akan dibicarakan di mahkamah berhubung skandal IPIC. Gambar: AP

Permohonan bekas ketua setiausaha perbendaharaan, Mohd Irwan Serigar Abdullah dan bekas ketua pegawai eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Arul Kanda Kandasamy untuk membatalkan saman difailkan 1MDB terhadap mereka yang menuntut bayaran AS$6.59 bilion (1US$ = RM4.29), akan didengar 19 Oktober ini.

Peguam Lavinia Kumaraendran yang mewakili Irwan berkata tarikh baru itu ditetapkan selepas pihak defendan dan plaintif bersetuju untuk dua permohonan itu didengar serentak pada 19 Oktober di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Amarjeet Singh.

Peguam itu ketika dihubungi hari ini berkata pengurusan kes tersebut ditetapkan pada 16 Ogos.

Permohonan untuk membatalkan saman itu difailkan Arul Kanda bulan lepas manakala Irwan memfailkan permohonan pada 18 Februari.

Dalam permohonan itu, Irwan antaranya mendakwa tuntutan saman terhadapnya adalah pramatang kerana pelaburan Brazen Sky serta pembayaran Aabar Investments PJS Limited adalah jelas tidak kukuh memandangkan mahkamah masih belum menentukan 1MDB mengalami kerugian sebanyak US$1.83 bilion dan US$3.5 bilion.

Arul Kanda dan Irwan disaman 1MDB pada Mei tahun lepas berhubung dakwaan mereka melakukan pecah amanah dan konspirasi menyebabkan 1MDB mengalami kerugian berjumlah US$1.83 bilion berhubung pelaburan dalam 1MDB-Petrosaudi Ltd yang ditukar kepada pelaburan Brazen Sky Limited (Brazen Sky), yang dikatakan terdapat dalam Bridge Global Fund.

1MDB juga mendakwa kedua-dua defendan itu melakukan pecah amanah dan konspirasi dengan menyeleweng wang 1MDB berjumlah US$3.5 bilion yang dibayar kepada Aabar Investments dan US$1.265 bilion dibayar kepada International Petroleum Investment Company (IPIC) pada 9 Mei 2017.

Menurut 1MDB, Irwan juga berkonspirasi dengan Arul Kanda untuk menyebabkan syarikat itu melaksanakan Perjanjian Pelanjutan Pekerjaan dan membuat pembayaran berjumlah RM2,905,200 kepada Arul Kanda selaras dengan perjanjian tersebut tanpa menghiraukan kepentingan 1MDB sehingga menyebabkan syarikat berkenaan mengalami kerugian.

Sehubungan itu, 1MDB antaranya menuntut kedua-dua defendan membayar US$6.59 bilion berhubung pelanggaran tersebut dan tambahan RM2.9 juta daripada Irwan berkaitan Perjanjian Pelanjutan Pekerjaan.