- Iklan -
Berita

GPS, ‘kingmaker’ atau pembawa kestabilan?

Penganalisis berkata, gabungan mana sekalipun yang menang PRU15 perlu mengadakan kerjasama dengan GPS.

Nur Shazreena Ali
3 minit bacaan
Kongsi
Gabungan Parti Sarawak pada ketika ini bekerjasama dengan dua gabungan majoriti Melayu, Barisan Nasional dan Perikatan Nasional.
Gabungan Parti Sarawak pada ketika ini bekerjasama dengan dua gabungan majoriti Melayu, Barisan Nasional dan Perikatan Nasional.

Walaupun tidak semestinya memainkan peranan sebagai “kingmaker”, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dijangkakan akan berfungsi sebagai pembawa kestabilan ketika perebutan kuasa dan perubahan kerjasama politik di semenanjung berlaku sebaik sahaja Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan, kata pemerhati.

Bercakap kepada MalaysiaNow mereka berkata mana-mana gabungan yang berjaya memenangi PRU15 perlu mengadakan kerjasama dengan GPS yang memerintah Sarawak, untuk mengukuhkan kuasa di peringkat persekutuan.

Hisommudin Bakar dari Ilham Centre berkata, pertembungan dalaman Umno menyebabkan sukar untuk menjangka parti mana yang akan memenangi majoriti besar di semenanjung.

Beliau berkata pertembungan antara Umno dan Bersatu contohnya, akan menyebabkan kedua-dua pihak perlu menjalinkan kerjasama dengan ahli-ahli Parlimen Sarawak untuk mengukuhkan angka mereka, dengan jangkaan GPS akan memenangi kerusi terbanyak di negeri Malaysia Timur itu.

“Tumpuan akan diberikan kepada pertembungan di 165 kerusi di semenanjung,” katanya.

“Politiking tanpa henti ini perlu diambil kesempatan oleh GPS. Tambahan pula GPS sudah membuktikan kekuatan mereka di Sarawak, saya percaya GPS akan menjadi tulang belakang kepada pembentukan sesuatu kerajaan yang stabil.”

Katanya, sejak sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak pada 2021, GPS sudah memainkan peranan besar memberikan sokongan kepada dua perdana menteri selepas tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada Februari 2020.

18 kerusi Parlimen dimiliki GPS dari Sarawak yang membantu Muhyiddin Yassin untuk mengambil alih jawatan perdana menteri selepas Langkah Sheraton.

Disebabkan itu, GPS menjadi sebahagian daripada kerajaan persekutuan dan pada ketika ini bekerjasama dengan dua gabungan majoriti Melayu, Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

Pemimpin-pemimpin GPS turut dilantik menganggotai Kabinet, dengan empat orang dilantik sebagai menteri dan lima lagi sebagai timbalan menteri.

Dalam kerajaan pada hari ini, GPS juga memberikan sokongan 18 ahli Parlimennya kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob yang hanya mempunyai majoriti tipis sebanyak empat kerusi di Dewan Rakyat.

Tawar menawar kuasa

Hisommudin berkata, mana-mana gabungan yang membentuk kerajaan diwajibkan untuk memberikan lebih banyak dana untuk pembangunan dan mengiktiraf hak Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963.

“Ini memberikan GPS lebih kuasa tawar menawar untuk meminta lebih banyak dana pembangunan dan hak daripada kerajaan pusat untuk Sarawak,” katanya.

Beliau juga memetik isu-isu seperti royalti minyak, pembangunan infrastruktur asas untuk air, elektrik, internet dan pendidikan.

Pemerhati politik James Chin bersetuju, bagaimanapun tidak pasti sama ada GPS mampu menjadi kingmaker pada PRU15.

“Ini perlu bergantung kepada keputusan PRU15,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Jika keputusan sengit di semenanjung, contohnya jika Umno dan BN menang lebih kurang 100, GPS akan menjadi kingmaker.

“Jika Umno dan BN memenangi lebih 115 kerusi, mereka tidak perlukan GPS. GPS yang akan bergabung dengan mereka untuk menjadi kerajaan. Tetapi ia bukan lagi kingmaker.”

Katanya perkara ini, akan menjadi tumpuan pada PRU15.

“Mereka mahu kekal berada dalam kerajaan, tetapi pada masa sama tidak boleh membiarkan Umno menjadi terlalu kuat.”

Oh Ei Sun, felo kanan Singapore Institute of International Affairs berkata GPS tidak boleh dikatakan sebagai kingmaker kerana mereka sentiasa mempunyai hubungan yang baik dengan BN.

“Sama ada terdapat pendedahan Tajuddin atau tidak, PKR tidak berprestasi baik di Sarawak dan seluruh Malaysia,” katanya merujuk kepada tikam menikam yang berlaku dalam Umno seperti didedahkan bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Tajuddin Abdul Rahman.

“GPS dengan kelebihannya sebagai kerajaan dan menguasai sumber negeri sudah tentu akan berprestasi baik pada pilihan raya akan datang,” katanya.

“Ia bukanlah kingmaker kerana perlu menyokong mana-mana gabungan. GPS sentiasa menyokong BN dan PN, tidak pernah menyokong PH.”

Bagaimanapun Hisommudin tidak bersetuju, mengatakan GPS akan sekali lagi menjadi kingmaker.

“Pada masa lepas, tumpuan hanya diberikan kepada dua gabungan besar, BN dan PH. Akan tetapi sekarang, gabungan baru muncul, PN mencabar dominasi kedua-dua gabungan ini.”

Katanya, pertembungan sengit akan menyebabkan undi berpecah dan peratusan keluar mengundi rendah disebabkan sikap tidak peduli pengundi.

“Kemunculan parti-parti baru seperti Pejuang, Muda, PBM dan lain-lain juga memberikan dinamik berbeza berbanding PRU14,” tambahnya.

“Selepas pilihan raya, tiada satu parti yang akan memenangi majoriti mudah. Ini menyebabkan parti-parti Borneo menjadi penentu.”

Ikuti kami di Telegram untuk kemas kini terkini: https://t.me/malaysianowbm

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi

Artikel Berkaitan

Tiada artikel ditemui.