- Iklan -
Berita

Umno bakal berpecah tiga kem selepas pendedahan Tajuddin?

Penganalisis kata pendedahan itu mengesahkan perang saudara dalam parti Melayu terbesar itu dan bakal membentuk kem baru.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Pemimpin dan perwakilan Umno pada perhimpunan agung tahunan di Kuala Lumpur pada Mac.
Pemimpin dan perwakilan Umno pada perhimpunan agung tahunan di Kuala Lumpur pada Mac.

Umno dijangkakan akan berpecah kepada tiga kem selepas pendedahan bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Tajuddin Abdul Rahman berhubung tikam-menikam dalam parti Melayu itu, kata penganalisis.

Ahli Parlimen Pasir Salak itu pada Isnin mendedahkan beberapa perkara antaranya ialah cubaan Timbalan Presiden Umno Mohamad Hassan untuk menjatuhkan Ahmad Zahid Hamidi dalam satu pertemuan dengan pemimpin-pemimpin lain di rumahnya pada Mei 2020.

Penganalisis politik Universiti Teknologi Mara, Mujibu Abd Muis berkata, pendedahan itu mengesahkan perang saudara dalam parti Melayu terbesar itu dan bakal membentuk kem baru.

“Apakah mungkin kem Zahid bergabung dengan kem Ismail Sabri Yaakob bagi menghalang kem Najib Razak? Kerana sebelumnya kem Zahid bersama Najib untuk menekan Ismail,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Sudah tentu ini akan dieksploitasi oleh pihak lawan dan tidak bagus untuk Umno di mata pengundi umum.”

Sudah menjadi rahsia umum bahawa Umno mempunyai dua kem utama, iaitu kem kluster mahkamah yang diketuai Zahid dan Najib manakala kem Putrajaya yang menyokong kepimpinan Ismail.

Kluster mahkamah sebelum ini dengan agresif mendesak Ismail untuk membubarkan Parlimen dan mahu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan secepat mungkin.

Dalam sidang akhbar pada Isnin, Tajuddin mengesahkan spekulasi ramai pihak bahawa tindakan Zahid mendesak PRU15 diadakan segera ialah bagi menyelamatkan dirinya yang berdepan pelbagai pertuduhan jenayah rasuah di mahkamah.

Namun bagi Mujibu, meskipun demikian, ia tidak akan menjejaskan kekuatan akar umbi Umno yang sememangnya mantap.

Oh Ei Sun, felo kanan Singapore Institute of Foreign Affairs berkata, pendedahan mengenai plot menjatuhkan Zahid tidaklah terlalu mengejutkan.

“Tidak mengejutkan apabila Tok Mat (Mohamad) melihat peluang dan cuba menjatuhkan Zahid seperti mana Muhyiddin Yassin cuba menjatuhkan Dr Mahathir Mohamad dia tidak teragak-agak.

“Mereka semua insan yang bercita-cita tinggi,” katanya.

Tajuddin turut mengesahkan cubaan Zahid untuk membawa ahli Parlimen Umno untuk menyokong presiden PKR, Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri meskipun Ismail dari partinya turut dicalonkan.

Sementara penganalisis politik Universiti Tasmania di Australia, James Chin pula berkata, kedudukan Zahid sebagai orang nombor satu Umno tidak akan goyah akibat pendedahan Tajuddin.

Meskipun pendedahan itu menggemparkan, katanya tiada apa yang baru disebutkan oleh Tajuddin.

“Ramai rakyat Malaysia menganggap sidang akhbar itu sebagai sidang akhbar dendam untuk beliau meluahkan rasa marah selepas digugurkan.

“Adakah akan memberi kesan sehingga ahli tidak lagi menyokong Zahid? Tidak. Mereka sedang bersedia untuk pilihan raya.

“Mereka tidak peduli kerana mereka hanya mahu Umno menang besar supaya dapat bentuk kerajaan tanpa Perikatan Nasional (PN),” tambahnya.

Mujibu pula berkata, sudah ada desakan berundur disuarakan kepada Zahir, namun itu tidak semestinya menjadi satu-satunya pilihan ahli Umno.

Katanya, mereka boleh mendesak Zahid mengadakan pemilihan Umno secepat mungkin.

“Mandat pun sudah habis dan pemilihan Umno yang patut dibuat sudah ditangguhkan.

“Ia lebih baik dan bermaruah jika pemilihan diadakan kerana Zahid boleh meletakkan nasibnya di tangan akar umbi dan mereka yang tidak setuju boleh suarakan dengan saluran yang betul,” katanya.

Umno sebelum ini mengadakan perhimpunan agung khas bagi meminda perlembagaan parti yang membolehkan pemilihan parti ditunda enam bulan selepas pilihan raya umum.