- Iklan -
Berita

Presiden parti politik Sabah ditahan

Dia ditahan selepas dipercayai mendalangi sindiket penipuan kad data maklumat dan telah ditahan pada 22 Jun lalu di Subang Jaya.

Azzman Abdul Jamal
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin. Gambar: Bernama
Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin. Gambar: Bernama

Seorang presiden parti politik Sabah ditahan polis selepas dipercayai mendalangi dalam sindiket penipuan kad data maklumat yang mensasarkan mangsa dalam kalangan warga asing.

Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin berkata, individu yang ditahan ialah Mohd Arshad Abdul Mualap yang merupakan presiden Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS) serta seorang lagi individu.

Katanya, mereka disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan didakwa di Mahkamah Shah Alam pagi tadi.

“Tangkapan dilakukan pada 22 Jun lalu di kediamannya di Subang Jaya,” katanya pada sidang media secara hibrid di Bukit Aman di Kuala Lumpur hari ini.

“Mohd Arshad mendaftarkan sebuah parti sebagai PPRS pada 2017 dan beliau merupakan presiden parti tersebut.”

“Seorang lagi individu yang ditahan tidak dapat dipastikan sama ada beliau merupakan ahli parti sama atau tidak.”

Mengulas lanjut, Hamzah berkata, sindiket penipuan itu mula terbongkar apabila beliau sendiri menerima “tip” panggilan daripada seorang warga asing di luar negara sebelum memaklumkan perkara itu kepada Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani untuk menjalankan siasatan.

Katanya, sindiket terbabit memaklumkan kononnya kad itu boleh digunakan di Malaysia dan pemegang kad tersebut akan menerima manfaat sama seperti warga tempatan.

“Kerajaan tidak pernah arahkan mana-mana pihak untuk mengeluarkan kad seperti ini. Sekiranya ada, kami akan buat pengumuman.

“Saya difahamkan mereka menggunakan pelbagai cara dan mengenakan pelbagai caj untuk dapatkan duit,” katanya.

Tegas Hamzah, di Malaysia, hanya terdapat empat kad pengenalan sahih yang didaftarkan dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“Biru adalah untuk warga tempatan manakala pemegang IC merah adalah untuk pemastautin tetap berstatus bukan warganegara.

“IC warna hijau adalah untuk bukan warganegara tetapi mahu tinggal secara sementara dan terakhir ialah IC warna coklat adalah bagi mereka terutama warga tempatan yang dikenakan hukuman atas kesalahan besar.”