- Iklan -
Berita

Singapura diselar kerana siasatan jenayah, intimidasi terhadap aktivis

Kumpulan hak asasi manusia termasuk Amnesty International menggesa pihak berkuasa Singapura bertanggungjawab berhubung siasatan ke atas Kirsten Han dan Rocky Howe yang aktif dalam membantah hukuman mati di republik itu.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Aktivis Kirsten Han dan Rocky Howe (tengah) mengambil bahagian dalam acara nyalaan lilin secara aman di luar Penjara Changi Singapura pada 25 April. Gambar ini telah menyebabkan siasatan polis terhadap mereka berdua di bawah Akta Ketenteraman dan Keselamatan Awam. Gambar: Facebook
Aktivis Kirsten Han dan Rocky Howe (tengah) mengambil bahagian dalam acara nyalaan lilin secara aman di luar Penjara Changi Singapura pada 25 April. Gambar ini telah menyebabkan siasatan polis terhadap mereka berdua di bawah Akta Ketenteraman dan Keselamatan Awam. Gambar: Facebook

Kumpulan hak asasi manusia termasuk Amnesty International hari ini mengecam Singapura berhubung siasatan jenayah yang dijalankan terhadap dua aktivis berikutan penglibatan mereka dalam usaha membantah peruntukan hukuman mati di republik itu, mendakwa pihak berkuasa mengganggu kedua-duanya melalui proses undang-undang.

Mereka berkata Kirsten Han dan Rocky Howe, yang disoal siasat polis minggu lalu di bawah Akta Ketenteraman dan Keselamatan Awam 2009, disoal siasat mengenai acara nyalaan lilin secara aman disertai empat orang di luar Penjara Changi pada 30 Mac dan gambar yang diambil di luar penjara itu pada 25 April.

Acara itu diadakan pada malam banduan bilik akhir Abdul Kahar Othman digantung sampai mati, manakala gambar yang dibangkitkan penyiasat tersebut diambil dua malam sebelum hukuman mati Nagaenthran K Dharmalingam.

Dalam satu kenyataan, kumpulan hak asasi menyuarakan kebimbangan berhubung penggunaan Akta Ketenteraman dan Keselamatan Awam selain tindakan terhadap Han yang lantang menentang hukuman mati, di mana beliau dilaporkan diminta untuk menyerahkan akses kepada akaun Facebook, Twitter dan Instagramnya sepanjang tempoh siasatan dijalankan.

Kumpulan hak asasi itu juga turut menambah tiada alasan yang sah diberikan pihak berkuasa ketika mengemukakan permintaan itu, dan ia dilihat sebagai cubaan mengganggu dan menakut-nakutkan, selain menyekat hak privasi dan kebebasan bersuara.

“Ketika dia enggan serahkan (kata laluan), Han dimaklumkan bahawa dia mungkin disiasat lebih lanjut di bawah Seksyen 39(3) Kanun Jenayah kerana menghalang polis menjalankan kuasa untuk mengakses komputernya,” tambah mereka.

Peruntukan seksyen yang dikatakan digunakan memperuntukkan denda maksimum S$5,000 dan/atau penjara sehingga enam bulan.

“Pihak berkuasa Singapura sering menggunakan Akta Ketenteraman dan Keselamatan Awam untuk menyiasat, mendakwa dan mensabitkan kesalahan ke atas pembela hak asasi manusia kerana melaksanakan hak mereka untuk bebas bersuara, dan mengadakan himpunan aman dan berpersatuan,” kata kumpulan hak asasi itu.

“Akta itu mengandungi takrifan yang terlalu luas tentang apa yang dianggap sebagai ‘perhimpunan awam’ atau ‘perarakan awam’, dan mengenakan sekatan jenayah yang tidak setara ke atas mereka yang didapati bersalah menganjurkan atau mengambil bahagian dalam perhimpunan awam atau perarakan tanpa permit di mana mereka diminta untuk berjumpa dengan polis.”

Kenyataan tersebut ditandatangani Amnesty International, Article 19, Civicus: World Alliance for Citizen Participation, Forum Asia, Human Rights Watch dan International Commission of Jurists.

Singapura menarik perhatian global sejak akhir-akhir ini berikutan penggunaan hukuman mati di negara itu, terutama keputusannya untuk tetap melaksanakan hukuman tersebut terhadap Nagaenthran pada 27 April lalu walaupun mendapat bantahan masyarakat antarabangsa berikutan keadaannya yang merupakan orang kurang upaya (OKU) mental.

Nagaenthran yang didiagnosis mempunyai skor IQ sebanyak 69, satu tahap yang membolehkannya dianggap sebagai OKU dilaporkan telah dipaksa melakukan jenayah mengedar 43g heroin – kira-kira tiga sudu besar – ke Singapura.