- Iklan -
Berita

Siasatan SPRM berhubung penyelewengan dana pakej rangsangan di peringkat akhir

SPRM mengambil inisiatif menjalankan siasatan awal bagi mengesahkan sama ada terdapat isu pelanggaran undang-undang dalam dakwaan tersebut.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia sedang menyiasat dakwaan penyelewengan berhubung dana bantuan pakej rangsangan ekonomi yang dikaitkan dengan seorang exco kerajaan Kedah. Gambar: Bernama
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia sedang menyiasat dakwaan penyelewengan berhubung dana bantuan pakej rangsangan ekonomi yang dikaitkan dengan seorang exco kerajaan Kedah. Gambar: Bernama

Siasatan berhubung dakwaan penyelewengan dana bantuan pakej rangsangan ekonomi yang didakwa mempunyai kaitan dengan seorang ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri (exco) Kedah kini di peringkat akhir.

Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah Shaharom Nizam Abd Manap berkata pihaknya kini di peringkat akhir mengumpul segala fail berkaitan sebelum mengemukakannya kepada timbalan pendakwa raya (TPR).

“Kita akan kemukakan kepada TPR untuk peroleh keputusan dan tindakan apa yang sesuai dikenakan berhubung kes ini. Ada banyak tindakan yang SPRM boleh cadangkan kepada TPR, kalau positif kita dakwa tetapi kalau negatif kita akan lihat bagaimana.

“Setakat ini, exco berkaitan yang didakwa terlibat dalam kes berkenaan masih belum dipanggil untuk memberi keterangan tetapi kita akan panggil dalam masa terdekat,” katanya ketika diminta mengulas mengenai perkembangan kes berkenaan.

Pada 17 Jun lepas, dalam laporan media Shaharom mengesahkan pihaknya sedang melakukan siasatan berhubung dakwaan penyelewengan dana bantuan pakej rangsangan ekonomi yang dikaitkan dengan seorang exco Kedah.

Katanya berdasarkan maklumat diperoleh, pihaknya mengambil inisiatif menjalankan siasatan awal bagi mengesahkan sama ada terdapat isu pelanggaran undang-undang berkaitan bawah bidang kuasa SPRM.

Terdahulu, beliau merasmikan pelepasan program “Free Corruption Ride 2022 SPRM Kedah” yang berlangsung selama tiga hari dua malam di lima daerah iaitu Padang Terap, Sik, Kulim, Baling dan Kuala Muda yang disertai kira-kira 100 orang peserta.

“Objektif program ini adalah untuk memberi peringatan kepada orang ramai agar menolak rasuah dan melaporkan perkara itu kepada SPRM, mendedahkan peranan dan fungsi SPRM serta menyalurkan maklumat kepada orang ramai agar tidak sesekali menawar dan menerima rasuah.

“Kita berharap melalui program ini dapat meningkatkan integriti dalam diri masyarakat untuk memerangi rasuah serta dapat menjalinkan kerjasama erat dan padu antara SPRM dan masyarakat,” katanya.