- Iklan -
Berita

Hubungan dengan Bersatu tiada dalam pertimbangan GPS berhubung penyertaan Willie, kata penganalisis

Mereka berkata Bersatu yang merupakan parti semenanjung 'tidak relevan' dalam konteks Sarawak.

Nur Shazreena Ali
2 minit bacaan
Kongsi
Bendera Gabungan Parti Sarawak dengan logo Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkibar ketika kempen Pilihan Raya Negeri Sarawak tahun lalu.
Bendera Gabungan Parti Sarawak dengan logo Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkibar ketika kempen Pilihan Raya Negeri Sarawak tahun lalu.

Sebarang pertimbangan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk menerima kemasukan Willie Mongin mungkin menjejaskan hubungan gabungan itu dengan Bersatu, kata penganalisis ketika perbincangan dalaman masih berjalan mengenai permohonan ahli Parlimen Puncak Borneo itu untuk menyertai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Bagaimanapun, pemerhati politik James Chin berkata kemungkinan hubungan kedua-dua parti itu menjadi keruh tidak akan memberi kesan kepada GPS dalam sebarang keputusan yang dibuatnya.

“Jika GPS terima Willie, sudah tentu ia akan menimbulkan masalah,” kata Chin, dari Universiti Tasmania Australia kepada MalaysiaNow.

“Namun pada masa sama, GPS tidak peduli kerana ia hanya peduli tentang Sarawak. Jadi walaupun hal ini memberi kesan terhadap hubungannya dengan Bersatu, bagi GPS tiada apa-apa perbezaan mengenainya.”

Awal bulan ini, Willie mengesahkan beliau mengemukakan permohonan untuk menyertai PBB beberapa bulan lalu.

PBB, yang merupakan parti dominan dalam GPS dipimpin Premier Sarawak Abang Johari Openg.

Willie yang merupakan bekas pemimpin PKR turut berkata tujuan beliau bersama Bersatu adalah untuk memberi sokongan kepada kerajaan pada masa itu.

Walaupun hubungan Bersatu dan GPS dilihat mesra, namun GPS menegaskan ia tidak akan memberi laluan kepada parti dari semenanjung itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Sebaliknya, GPS mengumumkan akan bertanding di semua 31 kerusi Parlimen pada PRU15.

Willie memenangi kerusi Puncak Borneo menggunakan tiket PKR pada PRU14 lalu, mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) dan Parti Aspirasi Rakyat Sarawak.

Beliau meninggalkan PKR pada Februari 2020 dan menyertai Bersatu sebulan selepas Langkah Sheraton yang menyaksikan kejatuhan pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Pemerhati veteran politik Sarawak, Jeniri Amir berkata GPS sudah mempunyai cukup sokongan di Parlimen.

“Sudah jadi tidak relevan ia perlu pertimbangkan reaksi Bersatu dalam apa sahaja tindakan yang diambilnya.

“Dalam konteks Sarawak, Bersatu tidak relevan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengakui sokongan kuat akar umbi terhadap Willie di Puncak Borneo adalah penting jika GPS mahu mendapat kuasa di persekutuan pada PRU15.

“PBB mungkin dengar kata pemimpin akar umbi, terutama tiga ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) di bawah kawasan Puncak Borneo.

“Willie merupakan pemimpin yang mempunyai sokongan akar umbi yang kuat kerana selalu turun padang. Dari sudut itu, GPS tak boleh pandang mudah mengenainya,” kata Jeniri.

Chin bersetuju sokongan akar umbi kepada Willie akan menjadi faktor penentu sama ada PBB akan menerima permohonannya untuk menjadi ahli.

“Saya syak mereka belum buat sebarang keputusan lagi kerana parti itu sudah mempersiapkan seorang calon untuk menentangnya sejak sekian lama,” katanya.

“Kompromi yang mungkin berlaku jika mereka setuju, beliau mungkin tidak dibenarkan bertanding di Puncak Borneo. Tetapi ini akan timbulkan masalah kerana Willie mempunyai sokongan akar umbi yang kuat.”

Walau apa pun keputusan GPS, Chin dan Jeniri sependapat Bersatu yang mungkin tidak berpuas hati bukanlah ancaman kepada GPS.

“Bagi GPS, Bersatu tidak relevan dalam kes ini,” kata Jeniri.

“Lagipun, mereka akan lawan BN. Bersatu akan bekerjasama dengan PH di beberapa bahagian di semenanjung untuk melawan BN.”

Sementara itu, Chin berkata di pihak GPS, gabungan itu tidak akan berkompromi, walau apa pun yang akan terjadi terhadap hubungannya dengan Bersatu.

“Apa yang pasti, prestasi Bersatu tidak akan baik pada PRU15,” katanya.

“Kebanyakan orang di Sarawak tidak peduli dengan Bersatu.”