- Iklan -
Berita

Bekas pengarah CZCSB tidak tahu jumlah wang diberi kepada Guan Eng bagi projek terowong

Ibrahim Sahari juga tidak tahu tujuan dan cara wang itu diberikan kepada bekas ketua menteri Pulau Pinang itu.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng. Gambar: Bernama
Bekas ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng. Gambar: Bernama

Bekas pengarah syarikat Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZCSB) hari ini memberitahu Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bahawa beliau tidak tahu mengenai jumlah wang yang didakwa diberikan kepada Lim Guan Eng berhubung projek pembinaan terowong dasar laut dan jalan utama di Pulau Pinang.

Ibrahim Sahari, 58, juga tidak tahu tujuan dan cara wang itu diberikan kepada bekas ketua menteri negeri itu.

Saksi pendakwaan ke-29 itu berkata demikian ketika disoal peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Lim pada perbicaraan kes rasuah bekas ketua menteri Pulau Pinang itu yang berdepan empat pertuduhan membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di negeri itu bernilai RM6.3 bilion.

Gobind: Kamu tidak sekali-kali nampak wang itu dibayar kepada siapa?

Ibrahim: Setuju

Ketika membacakan pernyataan saksinya, Ibrahim berkata pada Januari 2018, rakan sejawatannya iaitu Zarul Ahmad Mohd Zulkifli, 62, telah membuat pengakuan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan kepadanya bahawa beliau (Zarul Ahmad) telah membuat pembayaran kepada Lim selepas dibebaskan dari tahanan SPRM.

“Bagaimanapun, Zarul tidak memberitahu kepada saya berkenaan jumlah dan cara wang itu diberikan kepada Lim,” katanya sambil menambah beliau pernah berjumpa Lim ketika mesyuarat rasmi antara syarikat itu dengan kerajaan negeri Pulau Pinang.

Dalam prosiding sebelum ini, Zarul memberitahu mahkamah bahawa Lim meminta suapan sebanyak 10% daripada keuntungan yang akan diperoleh Consortium Zenith Beijing Urban Construction Group (CZBUCG) dalam projek pembinaan jalan utama dan terowong dasar laut di negeri itu.

Ibrahim juga mengaku bahawa beliau menyediakan invois, baucer dan akaun syarikat palsu seperti yang diarahkan Zarul.

Gobind: Zarul mengarahkan anda melakukan kesalahan?

Ibrahim: Hanya untuk transaksi (berkaitan pemalsuan dokumen).

Gobind: Anda seorang ‘penyangak’.

Ibrahim: Tidak, saya hanya ikut arahan…saya hanya bertindak sedemikian untuk kepentingan syarikat.

Lim, 61, berdepan pertuduhan pindaan menggunakan kedudukan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang untuk menerima rasuah RM3.3 juta dalam membantu syarikat milik Zarul Ahmad bagi mendapatkan projek pembinaan bernilai RM6,341,383,702 di pejabat ketua menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar, George Town antara Januari 2011 hingga Ogos 2017.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Lim didakwa meminta suapan dari Zarul sebanyak 10% daripada keuntungan diperoleh syarikat itu, sebagai penghargaan mendapatkan projek tersebut dan dituduh melakukan perbuatan itu berhampiran The Garden Hotels, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City pada Mac 2011.

Lim, yang juga bekas setiausaha agung DAP, turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah bernilai RM208.8 juta milik kerajaan Pulau Pinang dilupuskan kepada dua syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengan projek terowong dasar laut itu.

Perbicaraan di hadapan hakim Azura Alwi bersambung 25 Julai ini.