- Iklan -
Berita

Dana RM65 juta sumbangan amal jariah bukan hasil aktiviti haram, kata Zahid

Zahid juga berkata beliau tidak pernah mengarahkan mana-mana peguam atau pekerja dari Tetuan Lewis & Co untuk mendepositkan wang tersebut ke dalam akaun simpanan tetap.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Gambar: Bernama
Bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Gambar: Bernama

Ahmad Zahid Hamidi memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa dana Yayasan Akalbudi (YAB) berjumlah RM65 juta yang didakwa diterimanya dan dipindahkan ke akaun simpanan tetap sebuah firma guaman bukan hasil wang haram.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu 69, sebaliknya, berkata dana RM65 juta melalui cek itu adalah hasil sumbangan daripada individu dan badan korporat bagi tujuan amal jariah.

“Saya menegaskan bahawa dana tersebut adalah bukan hasil daripada aktiviti haram yang didefinisikan di bawah Akta Amla,” katanya semasa membacakan pernyataan saksi semasa membela diri atas 47 pertuduhan iaitu 12 pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram, membabitkan puluhan juta ringgit dana milik YAB.

Katanya, beliau juga tidak pernah mengarahkan mana-mana peguam atau pekerja termasuk kerani V Sothilechmy daripada Tetuan Lewis & Co untuk mendepositkan wang tersebut ke dalam akaun simpanan tetap.

Katanya, Sothilechmy telah mengesahkan di mahkamah bahawa beliau (Sothilechmy) mendapat arahan daripada peguam B Muralidharan untuk memasukkan dana-dana tersebut ke dalam akaun simpanan tetap.

“Semasa saya melantik Tetuan Lewis & Co untuk menguruskan dana Yayasan Akalbudi, Muralidharan pernah memberitahu saya bahawa akan menguruskan dana itu dengan membuka akaun simpanan tetap supaya yayasan itu dapat memperoleh kadar faedah. Muralidharan juga memberitahu saya bahawa beliau perlu berbuat demikian berdasarkan undang-undang,” katanya.

Mengenai dana YAB berjumlah RM5.9 juta, ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, beliau tidak pernah memberi arahan kepada Muralidharan untuk membuat pembayaran bagi pembelian dua lot tanah banglo di Country Height, Kajang, menggunakan akaun simpanan tetap.

Beliau berkata dana Yayasan Akalbudi dikendalikan oleh Muralidharan menggunakan budi bicara tunggal peguam itu sepenuhnya.

“Muralidharan sebagai seorang yang mempunyai kawalan kendalian ke atas dana Yayasan Akalbudi mempunyai pengetahuan tentang transaksi keluar masuk wang dalam akaun pelanggan dan Muralidharan mempunyai budi bicara tunggal untuk menentukan berapa banyak jumlah dana yang perlu dimasukkan ke dalam akaun simpanan tetap,” katanya.

Zahid juga berkata pengeluaran RM5.9 juta daripada akaun simpanan tetap oleh Muralidharan bagi tujuan pembayaran dua lot tanah untuk dijadikan pusat pengajian al-Quran bagi golongan yang akan bersara dan juga pelajar tahfiz dan ia bukan wang daripada hasil aktiviti haram.

Selain itu, Zahid berkata beliau tidak pernah mengarahkan pengurup wang, Omar Ali Abdullah untuk menukarkan wang tunai berjumlah RM 7,511,250.20 kepada 35 keping cek.

“Seingat saya, apabila Omar dipanggil untuk memberi keterangan di mahkamah, beliau sendiri menyatakan bahawa beliau telah mengambil inisiatif sendiri untuk menukarkan wang tunai sumbangan tersebut kepada cek.

“Semasa saya berjumpa dengan Omar untuk berbincang berkenaan mendepositkan wang tunai ke dalam akaun pelanggan Tetuan Lewis & Co, Omar Ali telah memberitahu saya bahawa beliau akan menggunakan inisiatif beliau sendiri untuk menukarkan wang tunai tersebut kepada beberapa cek,” katanya.

Ahmad berkata beliau tidak mempunyai apa-apa kaitan berkenaan penukaran wang tunai kepada cek itu.

“Oleh itu, saya ingin menegaskan bahawa sumber wang tunai yang diuruskan oleh Omar merupakan sumbangan dan derma daripada Yayasan Al-Bukhary dan bukan wang hasil daripada aktiviti haram,” katanya.

Perbicaraan di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.