Monday, July 4, 2022

Perhimpunan jalanan bukan penyelesaian, kata Sultan Johor

Sultan Ibrahim berkata pandangan daripada masyarakat sebaliknya boleh disampaikan kepada kerajaan menerusi pelbagai forum lain.

Other News

Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkata perhimpunan jalanan seperti dicadangkan seorang pemimpin DAP bukannya cara bertanggungjawab dalam mencari penyelesaian yang membina.

Menerusi hantaran di Facebook, Sultan Ibrahim berkata suara atau pandangan daripada pelbagai lapisan masyarakat sebaliknya boleh disampaikan kepada kerajaan menerusi pelbagai forum lain.

“Tidak cukup peritkah pengajaran daripada demonstrasi yang menjadi detik hitam dalam sejarah negara kita seperti pada tahun 1969, dan tidak lama dahulu, perhimpunan Bersih? Ia tidak mencapai sebarang matlamat, selain mengakibatkan kekecohan dan kerosakan. Ini bukan cara negara kita… tiada yang menang. Semuanya akan rugi. 

“Kita tidak tahu berapa lama kita boleh pulih daripada kesan perhimpunan sebegitu. Undang-undang negara kita mesti dihormati. Janganlah buat kenyataan berbaur hasutan kerana ia tidak membantu, sedangkan ada banyak saluran yang lebih membina untuk menyuarakan pandangan,” katanya.

Baginda bertitah perhimpunan jalanan juga akan memberi impak negatif kepada ekonomi negara, menakutkan pelabur asing dan merencatkan pemulihan negara daripada pandemik Covid-19.

“Janganlah buat perhimpunan sebegini. Pertumbuhan negara kita mesti dipupuk melalui dialog yang matang, bukan tindakan yang akan mengancam ketenteraman awam dan keselamatan negara.”

Rabu lepas, Anggota Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP Sheikh Umar Bagharib Ali dilaporkan mencadangkan rakyat berhimpun beramai-ramai sebagai tanda protes susulan kenaikan kos sara hidup.

Umar yang juga bekas ahli Dewan Undangan Negeri Paloh dipetik sebagai berkata jika sejuta orang dapat dihimpunkan di tengah Kuala Lumpur, mungkin barulah kerajaan akan membuka mata mengenai kesusahan rakyat.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles