- Iklan -
Berita

Najib berkuasa dalam 1MDB, bukan saya, kata bekas menteri kewangan II

Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah berkata beliau memberi amaran kepada Najib bahawa 1MDB tidak sepatutnya ditubuhkan tanpa sebarang kajian kebolehlaksanaan, namun nasihatnya tidak diendahkan.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Najib Razak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Gambar: Bernama
Bekas perdana menteri Najib Razak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Gambar: Bernama

Bekas menteri kewangan II Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa Najib Razak mempunyai kuasa membuat keputusan dalam 1MDB, bukannya beliau.

Husni, 70, berkata antara buktinya, adalah bekas perdana menteri itu tetap meneruskan projek usahasama antara 1MDB dengan PetroSaudi International Ltd (PSI) walaupun kebimbangan mengenainya dibangkitkan oleh beliau yang merupakan saksi pendakwaan ke-20.

“Pada 2009, saya beritahu Najib bahawa 1MDB tidak boleh ditubuhkan tanpa kajian kebolehlaksanaan, yang Najib mengatakan bahawa beliau akan meneruskan (penubuhan syarikat pelaburan itu) dan memintanya agar tidak masuk campur.

“Berhubung projek usaha sama dengan PSI, saya beritahu beliau yang pertama, masih belum ada telaga minyak lagi. Jika tiada minyak, bermakna kita akan hilang pelaburan… 1MDB tidak mempunyai rekod prestasi dalam petroleum. Saya juga beritahu beliau bahawa 1MDB tidak ada pengalaman dalam bidang cari gali minyak dan sepatutnya diserahkan kepada Petronas.

“Tetapi beliau beritahu saya agar tidak campur tangan lagi. Itu menunjukkan beliau mempunyai kuasa kerana tiada perbincangan,” katanya ketika sesi pemeriksaan semula oleh timbalan pendakwa raya kanan Gopal Sri Ram pada perbicaraan Najib berhubung penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB.

Sebelum ini, saksi itu memberi keterangan bahawa beliau bertemu dengan Najib di pejabatnya untuk memberitahu bahawa 1MDB tidak boleh ditubuhkan tanpa kajian kebolehlaksanaan, kerana tujuan kajian kebolehlaksanaan itu adalah untuk membuat penilaian praktikal terhadap cadangan projek serta risiko dari segi perniagaan dan kewangan.

Sri Ram: Dicadangkan kepada anda bahawa bekas pengerusi 1MDB Mohd Bakke Salleh telah menyifatkan bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) Shahrol Azral Ibrahim Halmi sebagai seorang penjenayah. Adakah anda mengetahui Shahrol mendapat arahan daripada siapa?

Husni: Dari Najib Razak.

Sri Ram: Najib Tun Razak, maksud anda tertuduh?

Husni: “Ya”.

Saksi itu menambah beliau tidak mengetahui sama ada Shahrol pernah menerima imbuhan lain sebagai pekerja selain daripada gajinya.

Sri Ram: Semalam, semasa pemeriksaan balas, anda ditanya mengenai Petronas, anda diberitahu bahawa PM mempunyai monopoli terhadap perniagaan itu (Petronas). Apakah perniagaan utama Petronas?

Husni: Ia berkaitan dengan petroleum bukan sahaja di seluruh negara tetapi juga pelaburan antarabangsa dalam sektor itu.

Sri Ram: Dalam kes 1MDB, adakah ia ada kaitan dengan sumber asli?

Husni: ‘Tidak’.

Najib, 68, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Perbicaraan di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung.