- Iklan -
Berita

Jawatankuasa pemerkasaan Mahkamah Syariah diwujudkan semula, kata menteri

12 pakar dalam bidang undang-undang dilantik sebagai ahli jawatankuasa tersebut.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Idris Ahmad. Gambar: Facebook
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Idris Ahmad. Gambar: Facebook

Kerajaan bersetuju untuk mewujudkan semula Jawatankuasa Memperkasakan Mahkamah Syariah (JKMMS) dan melantik 12 tokoh sebagai ahli jawatankuasa berkenaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad berkata langkah itu diambil bagi mempertingkatkan serta memartabatkan sistem perundangan syariah secara holistik selaras dengan kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata Othman Mustapha yang merupakan bekas ketua pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dilantik sebagai pengerusi jawatankuasa itu.

“Kerajaan amat yakin dengan kewibawaan serta pengalaman luas beliau dalam pentadbiran hal ehwal Islam akan membantu usaha kerajaan untuk memperkukuh institusi kehakiman syariah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Antara tokoh lain yang turut dilantik ialah Peguam Cara Negara Ahmad Terrirudin Mohd Salleh, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Mohd Shafiq Abdullah, Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Mohd Na’im Mokhtar dan Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu UiTM Shamrahayu Ab Aziz.

Idris berkata kerajaan yakin dengan kewibawaan mereka yang dilantik untuk berusaha, menjalankan kajian dan memberikan cadangan akan membawa kepada penambahbaikan serta transformasi institusi mahkamah syariah negara.

“Selamat menjalankan amanah ini dengan sepenuh hati demi agama, negara dan ummah. Semoga Allah SWT sentiasa mengurniakan pedoman dalam setiap tindakan yang dilaksanakan,” katanya.

Sebelum ini, dilaporkan JKMMS ditubuhkan pada Ogos 2017 setelah dipersetujui pada mesyuarat jemaah menteri ketika itu.

Namun, jawatankuasa tersebut dihentikan apabila Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pentadbiran negara selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas.