Monday, July 4, 2022

Guan Eng hanya tersenyum, gembira terima wang RM200,000, kata saksi

Pengarah Consortium Zenith Zarul Ahmad memaklumkan wang tersebut adalah sebahagian rasuah yang diminta oleh Lim daripada keuntungan syarikat.

Other News

Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (ZCSB) Zarul Ahmad Mohd Zulkifli memberitahu Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini Lim Guan Eng hanya tersenyum dan kelihatan gembira apabila menerima sampul surat berisi wang rasuah RM200,000 yang diserahkannya kepada bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu pada 2013 dan 2014.

Zarul, 62, berkata beliau menyerahkan wang RM100,000 kepada Lim pada 2013 sebagai tanda “milestone” pembayaran perjanjian awal daripada keuntungan projek pembinaan jalan-jalan utama dan terowong dasar laut di Pulau Pinang.

“Sumber wang tunai RM100,000 ini adalah dari wang syarikat ZCSB. Duit RM100,000 ini adalah sebahagian wang rasuah daripada 10% yang diminta oleh YB Lim Guan Eng,” katanya.

Zarul berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksinya pada perbicaraan kes rasuah Lim yang berdepan empat pertuduhan membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion.

Menceritakan kejadian itu, Zarul berkata beliau telah membuat temu janji dengan Lim pada Ogos 2013 melalui setiausaha sulit kanan Lim untuk memberi laporan berkenaan projek tersebut dan juga mendapat nasihat hala tuju daripada ahli politik itu.

“Selepas perbincangan yang diadakan di pejabat YB Lim di tingkat 28, Bangunan Komtar, saya telah mengeluarkan sampul bersaiz A4 yang mengandungi duit tersebut.

“Saya sendiri telah menyerahkan sampul kepada beliau dan mengatakan kepadanya ‘ini untuk tuan’. YB Lim mengambil sampul itu dan cuma tersenyum ketika menerimanya,” kata saksi pendakwaan ke-23 itu.

Berkenaan pembayaran kali kedua kepada Lim sebanyak RM100,000, Zarul menjelaskan ia berlaku menjelang sambutan Tahun Baru Cina pada Januari 2014 di pejabat Lim di tingkat 28, Bangunan Komtar.

“Saya membawa wang tunai RM100,000 yang saya letakkan di dalam satu sampul putih. Sebelum menyerahkan wang itu, kami ada bercakap berkenaan perkembangan kajian ketersauran yang sedang saya lakukan berkaitan projek pembinaan tersebut.

“Pada peringkat ini, syarikat saya telah diberikan surat anugerah untuk melaksanakan projek tersebut. YB Lim menerima sampul putih itu setelah saya hulurkan kepadanya. Saya berada di pejabat YB Lim sekejap saja dan beliau kelihatan gembira setelah menerima sampul tersebut daripada saya,” katanya.

Zarul memaklumkan wang itu juga sebahagian wang rasuah daripada 10% yang diminta oleh Lim daripada keuntungan syarikat.

Terdahulu, Zarul menjelaskan Lim tidak meminta wang daripadanya tetapi beliau cuba menunaikan janji atas permintaan Lim yang menuntut 10% daripada keuntungan daripada projek terowong dan jalan-jalan utama itu.

“Sebagai seorang ahli perniagaan, etika untuk mengotakan janji adalah penting. Semua sumber wang yang saya dapat pada waktu itu adalah daripada dana modal kerja.

“Dana tersebut saya peroleh daripada pelabur seperti pengarah urusan Ewien Zenith Sdn Bhd (EZCB) mendiang Ewe Swee Kheng. Saya menyimpan sebahagian daripada sumber tersebut dalam bentuk tunai untuk membuat sumbangan kepada YB Lim,” katanya.

Lim berhadapan pertuduhan pindaan menggunakan kedudukan sebagai ketua menteri Pulau Pinang untuk menerima rasuah RM3.3 juta, dalam membantu syarikat milik Zarul Ahmad bagi mendapatkan projek pembinaan bernilai RM6,341,383,702, di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar, George Town antara Januari 2011 hingga Ogos 2017.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Lim didakwa meminta suapan daripada Zarul Ahmad sebanyak 10% daripada keuntungan diperoleh syarikat itu, sebagai penghargaan mendapatkan projek itu dan dituduh melakukan perbuatan itu berhampiran The Garden Hotels, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, di Kuala Lumpur pada Mac 2011.

Lim yang juga bekas setiausaha agung DAP itu turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah bernilai RM208.8 juta milik kerajaan Pulau Pinang dilupuskan kepada dua syarikat, yang didakwa mempunyai kaitan dengan projek terowong dasar laut itu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Tanah dan Galian Pulau Pinang, Tingkat 21, Komtar pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017.

Perbicaraan di hadapan hakim Azura Alwi bersambung.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles