Sunday, July 3, 2022

Azeez kemuka representasi kepada AGC tarik balik pertuduhan rasuah

Timbalan pendakwa raya Nik Haslinie Hashim berkata pihaknya masih mengkaji perkara itu.

Other News

Bekas pengerusi Tabung Haji Abdul Azeez Abdul Rahim yang menghadapi pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berhubung projek jalan raya di Perak dan Kedah mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk menarik balik pertuduhan tersebut.

Timbalan pendakwa raya Nik Haslinie Hashim berkata pihaknya masih mengkaji perkara itu.

“Untuk makluman mahkamah juga, berkenaan permohonan  (Azeez) di Mahkamah Rayuan bagi membatalkan pertuduhan tarikh untuk keputusan ditetapkan 1 Julai ini,” katanya semasa sebutan kes itu di hadapan hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi.

Peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili Azeez mengesahkan mengenai representasi tersebut.

“Pihak-pihak telah berbincang untuk memohon satu tarikh yang bersesuaian oleh itu kami mencadangkan 30 Ogos untuk sebutan kes,” katanya yang mewakili Azeez bersama peguam Hisyam Teh Poh Teik.

Mahkamah menetapkan 30 Ogos ini untuk sebutan kes itu bagi memaklumkan status perkembangan representasi dan keputusan rayuan tersebut.

Azeez, 55, menghadapi tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta berhubung projek jalan raya di Perak dan Kedah serta 10 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah keseluruhan RM13.9 juta yang didakwa diterima daripada syarikat Menuju Asas Sdn Bhd.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di CIMB Bank, Jalan Tun Perak di Kuala Lumpur pada 8 Disember 2010 dan di Affin Bank, Pusat Bandar Puchong, Selangor pada 13 Jun 2017 dan 10 April 2018, manakala kesalahan pengubahan wang haram dilakukan di kawasan Lembah Klang antara 8 Mac 2010 dan 30 Ogos 2018.

Pada 12 Mac tahun lepas, Mahkamah Tinggi menolak permohonannya untuk membatalkan tiga pertuduhan rasuah dan 10 pertuduhan pengubahan wang haram dihadapinya.

Mahkamah Tinggi juga membenarkan permohonan Azeez yang juga ahli Parlimen Baling, untuk menangguhkan perbicaraan kesnya di Mahkamah Sesyen sementara menunggu keputusan rayuan di Mahkamah Rayuan.

Perbicaraan kes itu bermula pada 19 Ogos 2020 dan tujuh saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles