Monday, July 4, 2022

Shafee, bekas menteri kewangan bertikam lidah dalam perbicaraan Najib

Muhammad Shafee Abdullah dan Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah bertelagah mengenai dokumen berkaitan 1MDB.

Other News

Perbicaraan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Najib Razak bermula tegang pagi ini dengan peguam utama bekas perdana menteri dan menteri kewangan II ketika itu, Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah terlibat dalam perbalahan mengenai cara beliau mengendalikan dokumen berkaitan 1MDB.

Pertikaman lidah bermula apabila Husni, saksi pendakwaan ke-20 berulang kali menjawab kesemua dokumen berkaitan 1MDB dikendalikan oleh Najib dan beliau hanya mematuhi arahan, menggunakan frasa “Saya Yang Menurut Perintah”.

Peguam veteran, Muhammad Shafee Abdullah, yang jelas jengkel dengan jawapan saksi, meminta saksi menjelaskan apakah maksudnya.

Husni: Itulah yang telah saya jelaskan kepada anda… anda dengar dengan teliti. Semua surat 1MDB dihantar kepada menteri. Saya hanya perlu tandatangan… saya yang menurut perintah…apa lagi yang boleh saya lakukan. Kedua-dua projek ini iaitu 1MDB dan SRC International Sdn Bhd tidak mengikut prosedur operasi standard bagi syarikat-syarikat di bawah Kementerian Kewangan. Semuanya datang dari atas… anda tidak bekerja di sana, anda tidak tahu apa-apa.

Shafee: Itulah sebabnya saya bertanya kepada anda… Anda lebih mengetahui.

Husni: Jadi, anda mesti lebih faham apa yang saya perkatakan.

Shafee: Saya faham apa yang anda katakan. Jangan bergaduh dengan saya, saya yang mengajukan soalan.

Husni: Saya tidak bertengkar dengan anda.

Shafee: Kamu bergaduh! Jawab sahaja soalan, jangan angkuh.

Husni: Saya tidak angkuh!

Shafee: Kamu angkuh!

Pada peringkat ini, hakim Collin Lawrence Sequerah mencelah dan meminta saksi untuk menjawab soalan yang diajukan oleh Shafee.

Saksi membalas: “Yang Arif, beliau cuba menyalahkan orang lain”.

Hakim Sequerah: Beliau mempunyai tugas untuk dilaksanakan.

Husni: Walaupun disebabkan tugas, beliau seharusnya jujur.

Untuk ini, hakim Sequerah berkata pihak pendakwaan pasti akan memberi peluang kepada saksi untuk menjelaskan kemudian dan beliau tidak perlu risau tentang perkara itu.

Najib, 68, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Perbicaraan bersambung.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles