Monday, July 4, 2022

Timbalan pengarah berdepan 46 tuduhan rasuah sebanyak RM55,000

Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan.

Other News

Timbalan pengarah sebuah jabatan kerajaan didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu semalam atas 46 pertuduhan rasuah dan salah guna kuasa membabitkan RM55,020 antara 2019 hingga 2021.

Mahriyatty Bahrin, 42, yang juga jurutera awam Gred J44 di Pusat Khidmat Kontraktor Negeri Sabah bagaimanapun tidak mengaku bersalah atas semua tuduhan berkenaan ketika pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Mengikut pertuduhan, Mahriyatty berhadapan 19 pertuduhan di bawah Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, empat pertuduhan mengikut Seksyen 16 (a) (B) Akta SPRM 2009, masing-masing satu pertuduhan di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Mahriyatty berdepan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Selain itu, wanita berkenaan turut berdepan dengan 21 pertuduhan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau dengan denda, atau kedua-duanya.

Tertuduh didakwa secara rasuah telah memperoleh suatu suapan sebagai dorongan untuk meluluskan Sijil Taraf Bumiputera (STB) kepada beberapa kontraktor di negeri ini.

Mahriyatty didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di Maybank Cawangan Sipitang beralamat di Lot 25 & 26 Sipitang Shopping Centre, Jalan Hj A. H. Tengah, Sipitang dan Maybank Cawangan Karamunsing, Bangunan Maybank, No 1, Lorong Kemajuan, Karamunsing, di dalam daerah Kota Kinabalu antara 2019 hingga 2021.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM25,000 dengan seorang penjamin selain syarat tambahan iaitu perlu melapor diri di pejabat SPRM Kota Kinabalu sekali dalam masa dua bulan.

Pendakwaan dikendalikan oleh pegawai pendakwa Nurul Izzati Sapifee manakala tertuduh diwakili peguam Zahir Hussien Ahmad Shah.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 21 Julai ini.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles