- Iklan -
Berita

Mana hilangnya tenaga kerja Malaysia ketika negara beralih ke fasa endemik?

Majikan sukar mendapatkan pekerja, walaupun gaji menarik ditawarkan.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang penunggang motorsikal melalui iklan jawatan kosong yang digantung di Bangi, Selangor.
Seorang penunggang motorsikal melalui iklan jawatan kosong yang digantung di Bangi, Selangor.

Ketika pandemik Covid-19 mula-mula melanda pada 2020, dunia berdepan dengan masalah pembuangan kerja yang menyaksikan ribuan terjejas, apabila syarikat-syarikat mula menutup atau mengecilkan operasi.

Di Malaysia, hampir 100,000 orang kehilangan pekerjaan sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) mula dilaksanakan pada Mac 2020 hingga akhir November tahun itu.

Bagaimanapun, selepas dua tahun, apabila ekonomi dibuka sekali lagi dan Malaysia menyertai negara-negara lain menuju ke fasa endemik Covid-19, isu lain pula timbul.

Syarikat-syarikat di pelbagai sektor mulai aktif mengiklankan jawatan kosong, namun pemohon masih dilihat sedikit dan tidak dapat menampung kekosongan kerja dalam industri.

Negara kini berdepan dengan krisis kekurangan tenaga kerja membabitkan pelbagai sektor sehingga menyebabkan kerugian berbilion akibat hasil yang tidak dikutip atau pesanan yang terpaksa ditolak.

Salah seorang majikan yang berdepan masalah itu ialah Mohd Izham Fahmi Yaakob yang memiliki restoran di Puncak Alam dan Sungai Buloh di Selangor.

Katanya, kekurangan tenaga kerja dirasakan sejak tempoh PKP lagi.

Restorannya memerlukan 16 pekerja untuk berfungsi pada kapasiti penuh namun kini dia hanya mempunyai lapan kakitangan termasuk dirinya dan isteri.

“Sebelum ini ada juga masalah tenaga pekerja, cuma kali ini lebih ketara.

“Mereka bekerja sekejap-sekejap sahaja, lepas itu berhenti,” katanya kepada MalaysiaNow.

Katanya, pekerja berkemahiran kini sukar dicari walaupun sudah memberikan gaji yang tinggi.

Dia mengakui tidak tahu apa berada dalam fikiran pekerja sehingga lebih memilih untuk duduk di rumah berbanding bekerja.

“Saya bagi gaji tinggi, paling kurang RM70 sehari. Sebulan sudah hampir RM2,000.

“RM3,000 pun ada tapi mereka juga tidak bekerja dengan tetap,” katanya.

Gaji yang paling mahal ditawarkannya ialah RM200 sehari untuk jawatan tukang masak.

Kadar itu bermakna tukang masak di kedainya boleh mendapat antara RM4,000 hingga RM5,000 sebulan.

Namun ia tidak cukup untuk mengekalkan pekerja.

Penyelidik ekonomi Amanda Yeo dari EMIR Research berkata, sesetengah rakyat mula menikmati kebebasan dan autonomi ekonomi gig memandangkan mereka tidak lagi perlu bekerja mengikut jam pejabat dengan ketat.

“Mereka mempunyai fleksibiliti untuk bekerja di mana-mana dan pada bila-bila masa,” katanya kepada MalaysiaNow.

Perubahan persepsi terhadap kerjaya itu katanya selari dengan dapatan daripada agensi sumber manusia, Randstad.

Menurut kajian agensi tersebut, sembilan daripada 10 memilih untuk menyelesaikan kerja dengan cara sendiri, 44% bekerja dengan slot masa fleksibel manakala 33% bekerja dari rumah dengan lebih kerap.

Menurut Yeo, perubahan itu membawa dilema yang kepada majikan.

Sebagai contoh, pekerja dalam industri hospitaliti yang dibuang kerja semasa tempoh pandemik tidak cenderung untuk kembali bekerja dalam bidang itu, manakala syarikat atau pemilik hotel sukar menaikkan gaji melangkaui RM1,500 gaji minimum tanpa meningkatkan kos.

Penolakan tawaran kerja, meskipun dengan gaji yang menarik, menurut Yeo terkait dengan kemajuan teknologi.

Generasi milenial dan generasi Z lebih gemar memanfaatkan platform dan aplikasi digital untuk cuba mendatangkan idea perniagaan yang lebih inovatif.

“Pendekatan berbeza mereka terhadap kerja berbanding generasi sebelumnya akan mengubah masa depan landskap bekerja pada tahun-tahun mendatang.

“Kombinasi konsep bermain dan bekerja bermakna mereka mempunyai fleksibiliti untuk menikmati masa mereka atau menerima pendapatan secukupnya tanpa batasan waktu atau tempat.”

Bagi Izham, berdasarkan pemerhatiannya, sikap seseorang itu turut menjadi faktor kurangnya minat untuk bekerja.

“Ada yang berhenti kerana terlalu menumpukan permainan di telefon, terutama yang muda.

“Bagi pekerja yang lebih berusia, ada antara mereka yang kembali minta kerja dengan saya selepas beberapa ketika bekerja dengan orang lain kerana tidak serasi dengan tempat kerja baru,” katanya.