- Iklan -
Berita

KWSP catat pendapatan pelaburan kasar RM15.85 bilion bagi suku pertama 2022

KWSP memulakan awal suku pertama dengan kukuh, namun berubah mendadak apabila pasaran global mengalami kemerosotan, menyebabkan pulangan lebih rendah sepanjang tempoh itu.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Setakat Mac 2022, keseluruhan aset pelaburan KWSP meningkat kepada RM1.02 trilion, di mana 37% dilaburkan dalam pelaburan luar negara.
Setakat Mac 2022, keseluruhan aset pelaburan KWSP meningkat kepada RM1.02 trilion, di mana 37% dilaburkan dalam pelaburan luar negara.

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merekodkan jumlah pendapatan pelaburan RM15.85 bilion bagi suku pertama berakhir 31 Mac, 2022 susut daripada RM19.29 bilion yang dicatatkan pada suku yang sama 2021, berikutan kemerosotan ketara dalam pasaran dunia.

Ketua Pegawai Eksekutif Amir Hamzah Azizan berkata KWSP memulakan awal suku pertama dengan kukuh, tetapi keadaan berubah dengan mendadak apabila pasaran global mengalami kemerosotan, menyebabkan pulangan lebih rendah dalam bon dan ekuiti sepanjang baki tempoh suku pertama.

“Penurunan ini disebabkan oleh beberapa perkembangan yang berpunca daripada ketegangan geopolitik serta kesan kenaikan kadar inflasi dan kadar faedah.

“Perang Rusia-Ukraine hanya memburukkan lagi keadaan, menyebabkan ketidaktentuan terus berlanjutan pada masa negara-negara masih bergelut untuk pulih daripada beban hutang yang tinggi dan kewangan awam yang terjejas ekoran krisis pandemik,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata KWSP berjaya memanfaatkan kedudukan portfolionya untuk menjana keuntungan tambahan walaupun penjanaan pendapatan daripada ekuiti, yang menjadi penyumbang utama kepada pendapatan KWSP, terjejas akibat kelembapan pasaran.

Menurut KWSP, bagi suku tahun yang dikaji, ekuiti menyumbang RM10.46 bilion, iaitu 66% daripada jumlah pendapatan pelaburan kasar.

Selepas mengambil kira turun nilai kos atas ekuiti tersenarai, pendapatan pelaburan bersih bagi kelas aset ini menjana RM9.37 bilion untuk tempoh tersebut, jelas dana persaraan itu.

Sebanyak RM1.09 bilion telah diturunkan nilai untuk ekuiti tersenarai pada suku tahun tersebut, sekali gus menjadikan jumlah pendapatan pelaburan bersih pada suku pertama 2022 sebanyak RM14.76 bilion.

KWSP melaporkan, turun nilai kos atas ekuiti tersenarai adalah polisi dalaman yang diamalkan ke atas pelaburan ekuiti tersenarainya sebagai langkah berhemat untuk memastikan portfolio kekal sihat.

Ia menambah, instrumen pendapatan tetap, yang terdiri daripada sekuriti kerajaan dan bon sama taraf, serta pinjaman dan bon, menyumbang pendapatan tetap sebanyak RM4.75 bilion atau 30% kepada pendapatan pelaburan kasar.

Pendapatan yang direkodkan adalah lebih tinggi berbanding dengan RM3.89 bilion yang dijana pada suku pertama 2021, sebahagian besarnya didorong oleh hasil pasaran yang lebih tinggi pada suku pertama 2022 berbanding tempoh yang sama tahun lepas, jelasnya.

Menurut dana persaraan itu, hartanah dan infrastruktur mencatatkan penurunan dalam pendapatan kepada RM0.36 bilion daripada RM0.71 bilion bagi tempoh yang sama.

Pendapatan daripada instrumen pasaran wang pula mencatatkan RM0.28 bilion berbanding dengan RM0.38 bilion yang direkodkan pada suku pertama 2021, tambahnya.

KWSP menjelaskan sehingga Mac 2022, keseluruhan aset pelaburan KWSP meningkat kepada RM1.02 trilion, di mana 37% dilaburkan dalam pelaburan luar negara.

Pempelbagaian KWSP ke dalam pelbagai kelas aset, pasaran dan mata wang yang berbeza terus memberikan kestabilan pendapatan dan tambah nilai kepada pulangan keseluruhan KWSP, menurutnya.

Ia melaporkan, pada suku pertama 2022, pelaburan luar negara menjana pendapatan sebanyak RM8.23 bilion, mewakili 52% daripada jumlah pendapatan pelaburan kasar yang direkodkan.

KWSP menambah, sejumlah RM1.88 bilion daripada RM15.85 bilion pendapatan pelaburan kasar dijana bagi Simpanan Shariah, dan RM13.97 bilion bagi simpanan konvensional.

Simpanan syariah memperoleh kesemua pendapatannya daripada bahagian portfolio syariah sahaja, manakala pendapatan Simpanan Konvensional dijana oleh kedua-dua bahagian portfolio syariah dan konvensional, jelasnya.