- Iklan -
Berita

Balu, 2 remaja dibebaskan pertuduhan bunuh CEO Cradle Fund

Hakim Mahkamah Tinggi Ab Karim Ab Rahman berkata tiada bukti prima facie terhadap ketiga-tiga mereka.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Samirah Muzaffar, balu CEO Cradle Fund Nazrin Hassan, di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 7 April. Gambar: Bernama
Samirah Muzaffar, balu CEO Cradle Fund Nazrin Hassan, di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 7 April. Gambar: Bernama

Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini membebaskan balu CEO Cradle Fund Nazrin Hassan dan dua dua remaja yang dituduh membunuh beliau empat tahun lalu.

Karim membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal menimbulkan kes prima facie di akhir kes pendakwaan terhadap ketiga-tiga tertuduh.

Beliau berkata mahkamah mendapati bahawa keadaan tidak menunjukkan pelakuan tertuduh dan dua kanak-kanak itu (kini berumur 19 dan 16 tahun) mendatangkan kecederaan sehingga menyebabkan kematian mangsa.

Beliau turut berkata pihak pendakwaan juga gagal membuktikan pada masa yang dikatakan dalam pertuduhan berlakunya pembunuhan.

“Mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh (Samirah) dan kanak-kanak 1 dan kanak-kanak 2. Oleh itu tertuduh, kanak-kanak 1 dan kanak-kanak 2 dilepas dan dibebaskan atas tuduhan membunuh,” katanya.

Samirah Muzaffar serta dua remaja lelaki yang masing-masing berusia 19 dan 16 tahun didakwa membunuh Nazrin, 47, di sebuah rumah di Mutiara Damansara antara 11.30 malam, 13 Jun 2018 dan 4 pagi 14 Jun 2018.

Seorang lagi warga Indonesia yang masih bebas Eka Wahyu Lestari turut didakwa bagi pertuduhan yang sama.

Perbicaraan kes yang bermula pada 6 September 2019 itu ditutup pihak pendakwaan pada 14 Februari selepas memanggil 57 saksi.