Monday, July 4, 2022

Azmin tolak spekulasi masuk PKR, minta jangan banding dengan Zuraida

Menurut Azmin, beliau akan kekal bersama Bersatu dan akan mengukuhkan perjuangan parti yang dipimpin Muhyiddin Yassin itu.

Other News

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Mohamed Azmin Ali meminta semua pihak agar tidak membandingkan dirinya dengan Zuraida Kamaruddin yang berhijrah menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Azmin, yang juga menteri kanan perdagangan antarabangsa dan industri, berkata beliau akan terus berjuang dan memberikan perkhidmatan kepada rakyat bersama Bersatu.

“Saya rasa tidak perlu bandingkan saya dengan orang lain kerana apabila saya pilih menyertai Bersatu, ia bukan paksaan malah saya menyertai parti ini kerana ia dekat dengan diri saya yang mahu parti yang progresif dan inklusif kepada semua.

“Bersatu telah lakukan anjakan paradigma dalam perlembagaan parti yang membuatkan parti ini terbuka kepada semua kaum, jadi saya perlu pertahan dan perkukuhkan parti bersama kepimpinan Muhyiddin Yassin, saya juga akan beri tenaga serta sumbangan untuk kukuhkan Bersatu.

“Saya juga yakin dengan dasar-dasar yang dibawa Bersatu sehingga boleh membantu negara keluar daripada kemelut dan krisis kesihatan, ekonomi serta politik akan membuatkan parti ini diterima rakyat pada pilihan raya nanti,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja di Parlimen Balik Pulau hari ini.

Azmin berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan beberapa pihak membandingkan beliau dengan rakan sekutunya sebelum ini iaitu Zuraida yang meninggalkan Bersatu dan menyertai PBM pada 26 Mei lepas.

Pada Ogos 2020, beberapa pemimpin PKR termasuk Azmin dan Zuraida, yang bergerak melalui badan bukan kerajaan iaitu Penggerak Komuniti Negara, mengumumkan keputusan menyertai Bersatu.

Ahli Parlimen Gombak itu juga berkata beliau sedia bertanding di mana-mana kerusi yang ditetapkan oleh pucuk pimpinan Bersatu kerana patuh kepada keputusan parti.

Katanya beliau telah melakukan segala upaya untuk membangunkan Gombak selain membina hubungan dan semangat kekeluargaan sejak sekian lama bersama rakyat serta yakin kawasan itu akan kekal di tangan Perikatan Nasional pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Diminta mengulas spekulasi bahawa beliau akan kembali menyertai PKR selepas didakwa berjumpa dengan dua wakil parti itu di Hotel Sheraton, Petaling Jaya baru-baru ini, Azmin berkata perkara tersebut hanya spekulasi semata-mata.

“Saya jumpa ramai orang, saya tidak ingat siapa saya jumpa, saya juga pergi banyak hotel. Nama pun spekulasi,” katanya.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles