- Iklan -
Berita

Tiada pemimpin, kakitangan kerajaan Kelantan terlibat rasuah, kata timbalan MB

Namun Mohd Amar mengakui terdapat beberapa pegawai yang disiasat berhubung perkara tersebut selepas menerima laporan daripada pihak-pihak tertentu.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Timbalan Menteri Besar Kelantan Mohd Amar Nik Abdullah. Gambar: Bernama
Timbalan Menteri Besar Kelantan Mohd Amar Nik Abdullah. Gambar: Bernama

Tiada individu dalam kalangan pemimpin dan kakitangan kerajaan negeri didakwa atas kesalahan penyelewengan, salah guna kuasa dan rasuah sejak pemerintahan PAS di Kelantan setakat ini, kata Timbalan Menteri Besar Mohd Amar Nik Abdullah.

Beliau bagaimanapun mengakui terdapat beberapa pegawai atau kakitangan telah disiasat berhubung perkara tersebut selepas menerima laporan daripada pihak-pihak tertentu.

“Sejak zaman pentadbiran Nik Abdul Aziz Nik Mat lagi pernah disebut sekiranya ada penyelewengan, salah guna kuasa mahupun rasuah dalam kalangan pimpinan kerajaan, maka laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau polis boleh dibuat.

“Jika laporan sudah dibuat, kami sedia untuk disiasat dan itu memang pendirian kami kerana dari segi demokrasi sesiapa sahaja boleh bercakap atau memberi komen tetapi sebarang dakwaan mestilah ada bukti dan itu adalah asasnya,” kata beliau.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Malam Apresiasi Kumpulan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan & Pidato Ekonomi Sunnah “Penggerak Pembangunan Ummah”, di sini semalam, yang turut dihadiri Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob.