- Iklan -
Berita

Jangan ulangi kegagalan program ‘halalkan’ pendatang asing sebelum ini, kata persatuan pengilang

Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia berkata majikan yang cuba mengambil pekerja melalui program sebelum ini menghadapi pelbagai cabaran dan kos.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang pekerja asing di sebuah kilang pembuatan sarung tangan getah di Shah Alam, Selangor. Gambar: AFP
Seorang pekerja asing di sebuah kilang pembuatan sarung tangan getah di Shah Alam, Selangor. Gambar: AFP

Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) menggesa kerajaan untuk tidak mengulangi kegagalan program “menghalalkan”pendatang asing tanpa izin sebelum ini, ketika negara terus berdepan dengan cabaran kekurangan tenaga kerja akibat sekatan pergerakan yang dilaksanakan sejak negara dilandak pandemik dua tahun lalu.

Menurut President FMM Soh Thian Lai, majikan yang cuba mengambil pekerja melalui program berkenaan berdepan pelbagai cabaran dan kos dalam memenuhi syarat yang ditetapkan. 

“Dalam banyak keadaan, program tersebut membabitkan pihak ketiga yang mengakibatkan kos tambahan kepada majikan selain pencatutan oleh pihak ketiga daripada program berkenaan,” katanya kepada MalaysiaNow.

Beliau turut berkata majikan berdepan masalah mencari calon pekerja kerana kekurangan repositori maklumat pekerja yang tersedia untuk digajikan di bawah skim-skim pengesahan yang sepatutnya diurus oleh kedutaan negara masing-masing. 

Soh mengulas kenyataan Menteri Sumber Manusia, M Saravanan yang mengecam cadangan “menghalalkan” pekerja asing tanpa dokumen sebagai idea bodoh kerana menggalakkan lebih ramai pendatang asing tanpa dokumen. 

Sementara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Kebangsaan Agensi Perkhidmatan Swasta N Sukumaran berkata, pihaknya menyokong kenyataan menteri tersebut namun mempersoalkan apakah yang akan kerajaan lakukan kepada tiga hingga empat juta pendatang asing tanpa dokumen yang berada di negara ini sejak sekian lama. 

“Isunya ialah tiada penguatkuasaan. Pendatang asing tanpa izin tidak lagi takut. Mereka sudah hidup di sini bertahun-tahun.

“Setiap kali ada program pengesahan, ia hanya sebentar sahaja,” katanya. 

Menurut Sukumaran, masalah utama berkaitan program pengesahan itu ialah pekerja cenderung untuk lari dari satu majikan ke satu majikan lain. 

“Seseorang pekerja menjadi ‘haram’ apabila syarikatnya tidak boleh memperbaharui permit. Sekiranya syarikat membuat laporan polis, pekerja itu tidak boleh memperbaharui permitnya di mana-mana pun.”

Soh turut menyuarakan kegusaran mengenai perkara ini dalam program pengesahan pekerja. 

Katanya, majikan bimbang dengan tahap kebolehpercayaan pekerja tanpa dokumen untuk diambil bekerja menerusi program-program pengesahan kerana sikap melompat kerja selepas menerima permit.  

“Selain itu, program pengesahan juga membawa kepada peningkatan ketidakhadiran pekerja yang sah daripada kerja sedia ada yang mana pekerja-pekerja itu ditawar oleh ejen yang menjanjikan peluang pekerjaan yang lebih lumayan melalui pelaksanaan pengesahan,’ katanya.

Soh berkata, cara lain ialah untuk kerajaan menyelesaikan masalah yang dihadapi dalam proses pengambilan pekerja asing dengan memastikan proses permohonan secara terus dari negara sumber dengan piagam pelanggan yang jelas untuk tujuan pemprosesan yang berkesan. 

Kali terakhir program rekalibrasi untuk pemindahan semula pekerja tanpa dokumen ialah pada Disember tahun lalu, yang membabitkan 192,281 pendatang asing tanpa izin berdaftar untuk dihantar pulang secara sukarela. 

Ia dilanjutkan ke 30 Jun ini. 

Sebagai rekod, Malaysia dianggarkan mempunyai empat hingga enam juta pekerja tanpa dokumen.