- Iklan -
Berita

Faktor luar punca utama ringgit merosot, kata pakar ekonomi

Bagaimanapun, situasi tersebut turut beri kelebihan kepada negara.

Azzman Abdul Jamal
3 minit bacaan
Kongsi
Pelanggan membuat bayaran di kaunter selepas membeli produk di pasar raya di Ampang.
Pelanggan membuat bayaran di kaunter selepas membeli produk di pasar raya di Ampang.

Kejatuhan prestasi nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dilihat berpunca daripada faktor luaran seperti kenaikan kadar faedah yang tinggi oleh Rizab Persekutuan AS (Fed AS) dan bukannya disebabkan Malaysia mempunyai asas ekonomi yang lemah, kata beberapa penganalisis ekonomi.

Pakar ekonomi dari Putra Business School, Ahmed Razman Abdul Latiff, berkata situasi tersebut turut menjejaskan prestasi mata wang lain.

Katanya, pasaran sebelum ini menjangkakan kenaikan kadar faedah oleh Fed AS kepada 1.75% disebabkan inflasi yang terlalu tinggi di AS iaitu pada kadar 8.3%, angka tertinggi sejak 40 tahun lalu.

“Apabila berlaku spekulasi peningkatan kadar faedah yang ketara di AS, dolar AS akan mengukuh berbanding mata wang lain termasuk ringgit,” katanya kepada MalaysiaNow.

Bagi Penganalisis Penyelidik di Emir Research Amanda Yeo, penyusutan ringgit turut disumbang oleh inflasi yang mana ia turut menjejaskan prestasi ekonomi besar seperti AS dan China.

Katanya, memandangkan Malaysia terlalu bergantung terhadap makanan import, situasi ini menyebabkan Malaysia menghadapi situasi kenaikan harga barangan dan makanan secara mendadak.

Katanya, pada 2020 Malaysia mengimport produk makanan berjumlah RM55.5 bilion berbanding eksport RM33.8 bilion dan ini diterjemahkan menjadi defisit RM21.7 bilion.

“Aliran keluar yang besar ini terus memberi tekanan terhadap mata wang tempatan,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Sekiranya, kadar inflasi terus meningkat, rakyat Malaysia mungkin akan menghadkan perbelanjaan mereka dan ini boleh menyumbang kepada pertumbuhan KDNK yang lebih rendah sekali gus menjejaskan nilai ringgit.”

Penyusutan ringgit terus beri kelebihan 

Sementara itu, Razman menjelaskan penyusutan nilai ringgit turut memberi kelebihan kepada negara apabila ia boleh menyumbangkan kepada peningkatan eksport, dan pemulihan FDI.

Kata Razman, melihat kepada imbangan perdagangan, akaun semasa yang positif, ditambah dengan penurunan kadar pengangguran apabila ramai kembali bekerja, tiada sebab untuk menjangkakan Malaysia akan menuju ke arah kemelesetan ekonomi.

“Malah, disebabkan Fed AS sudah mengumumkan kenaikan kadar faedah antara 1.50% dan 1.75%, semua ketidakpastian sudah dimuktamadkan, justeru, saya tak lihat ringgit akan terus melemah,” kata Razman.

Menurut Yeo, nilai ringgit yang lemah turut mendorong kemasukan pelancong asing dan ini akan menyumbang kepada pertumbuhan sektor pelancongan, perhotelan dan penerbangan.

“Contohnya, penyusutan ringgit berbanding dolar Singapura akan menarik pelancong dari Singapura untuk mengunjung ke destinasi tarikan pelancong seperti di Johor dan Melaka, sekali gus membantu meningkatkan prestasi ekonomi setempat.”

“Namun begitu, sekiranya perolehan daripada pelancong asing kurang daripada jumlah perbelanjaan dalam kalangan rakyat Malaysia, maka negara ini mungkin memerlukan masa untuk memulihkan ekonomi,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Razman menegaskan bahawa prestasi ekonomi negara bukan saja bergantung kepada indikator ekonomi, malah persepsi pemain industri dan pelabur turut memainkan peranan penting.

Beliau berkata, bukti kepada peranan “persepsi” ini dapat dilihat menerusi kejatuhan kedudukan Malaysia dalam Ranking Daya Saing Dunia (WCR) Institut Antarabangsa bagi Pembangungan Pengurusan (IMD) 2022 apabila negara berdepan dengan krisis politik dan situasi ini menjejaskan keyakinan pelabur terhadap Malaysia.

Berdasarkan Ranking WCR IMD 2022, Malaysia menurun tujuh tangga dari kedudukan ke-25 yang dicatatkan pada 2021.

“Jika pembangkang terus main isu ini, ia akan memberi kesan kepada keyakinan pelabur dan pemain industri untuk kembangkan perniagaan.

“Pemulihan ekonomi bukan sekadar menukar barangan dan perkhidmatan tetapi juga bergantung kepada persepsi.

“Contohnya, walaupun Malaysia tiada isu, tetapi apabila pelabur menganggap kita berdepan masalah, maka mereka akan beralih tumpuan ke negara lain,” tambah beliau.

Yeo menambah, situasi politik negara juga mempunyai peranan yang boleh mempengaruhi keyakinan pelabur, dan sekiranya berlaku perubahan pentadbiran dengan begitu kerap, ia boleh menjejaskan pemulihan ekonomi.

“Apabila Malaysia kembali memiliki kerajaan yang stabil menerusi Pilihan Raya Umum ke-15, pastinya pelabur akan kembali yakin untuk melabur.

“Selepas Malaysia berjaya merangsangkan kembali FDI, ia akan melonjakkan pertumbuhan ekonomi dan mendorong permintaan terhadap ringgit,” katanya.