- Iklan -
Berita

PBB pertimbang tubuh sayap baru untuk pengundi muda

Bagaimanapun, parti itu berkata ia mesti seimbang supaya tidak mengganggu pelajaran mereka di sekolah.

Nur Shazreena Ali
1 minit bacaan
Kongsi
Perwakilan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu di himpunan triennal parti itu di Kuching.
Perwakilan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu di himpunan triennal parti itu di Kuching.

Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) sedang mempertimbangkan untuk meminda perlembagaan partinya pada mesyuarat agung triennal (TGM) hujung minggu ini bagi memberi laluan satu lagi sayap parti yang untuk ahli berusia 18 hingga 28 tahun.

Setiausaha Agung PBB Alexander Nanta Linggi berkata sayap itu akan menyediakan platform kepada golongan belia untuk menyertai politik secara aktif.

“Sayap belia ini akan menumpukan mereka yang berusia 18 hingga 28 tahun kerana mereka kini sudah menjadi pengundi secara automatik,” katanya di Kuching hari ini.

“Persiapan sudah dibuat dan kami akan tubuhkan jawatankuasa khas untuk mengkaji perkara ini.”

Beliau berkata perkara itu kemudiannya akan dibawa pada perhimpunan agung parti bagi meminda perlembagaannya.

Bercakap kepada pemberita, beliau berkata langkah itu juga akan membantu parti mengenal pasti individu yang mempunyai potensi kepimpinan.

Bagaimanapun, katanya, pergerakan sayap itu bukan satu pertubuhan rasmi, mengatakan PBB juga ingin memastikan pelajaran ahli-ahli mudanya tidak terganggu.

“Kita tubuhkan gerakan ini untuk mengenal pasti potensi remaja yang boleh diserap masuk ke arena politik.

“Walaupun kita mahu mereka bersama kerana sudah layak mengundi, namun kita juga perlu hati-hati.

“Kita tidak mahu politik ini melalaikan mereka sebagai seorang pelajar.”