- Iklan -
Berita

Muhyiddin nafi terima RM1.3 juta dari UKSB

Beliau berkata beliau sedang menjalani pembedahan pada Jun dan Ogos 2018 di mana tarikh yang didakwa beliau menerima wang dari Ultra Kirana.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Bekas menteri dalam negeri Muhyiddin Yassin.
Bekas menteri dalam negeri Muhyiddin Yassin.

Bekas menteri dalam negeri Muhyiddin Yassin hari ini menafikan testimoni saksi kes rasuah Ahmad Zahid Hamidi yang mengatakan beliau menerima RM1.3 juta dari Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) empat tahun lalu, mengatakan sedia untuk disiasat oleh pihak berkuasa anti rasuah berhubung perkara tersebut.

Dalam sebuah kenyataan beliau berkata tidak pernah menerima sebarang wang dari David Tan Siong Sun sama ada secara langsung atau tidak langsung dari pengarah UKSB atau pemegang sahamnya.

“Pernyataan ini adalah palsu. Saya dengan tegasnya menafikan pernyataan tersebut.

“Pada masa itu, saya menjalani pembedahan kanser dan kemudian mengambil cuti selama beberapa bulan untuk rawatan lanjut,” katanya.

Beliau turut menambah tugasannya sebagai menteri dalam negeri ketika itu telah diambil alih oleh perdana menteri ketika itu iaitu Dr Mahathir Mohamad.

Terdahulu, saksi dalam perbicaraan kes rasuah Zahid, Tan yang merupakan bekas pengurus UKSB berkata Muhyiddin turut termasuk antara ahli politik yang dibayar syarikat itu.

Tan memberitahu Mahkamah Tinggi Shah Alam bahawa Muhyiddin diberi wang tunai sebanyak RM1.3 juta melalui tiga transaksi, pada 4 Jun, 4 Julai dan 23 Ogos 2018.

Berhubung perkara itu, Muhyiddin berkata beliau berada di luar negara pada tarikh yang dinyatakan oleh Tan.

“Saya sebenarnya sedang menjalani rawatan di sebuah hospital di luar negara.

“Adalah mustahil bagi saya menerima sebarang sogokan wang tunai daripada sesiapa dalam keadaan itu,” katanya.

Muhyiddin turut berkata beliau tidak pernah disoal atau disiasat oleh pihak berkuasa berkenaan perkara itu.

Beliau juga menggesa pihak pendakwaan menjelaskan perkara tersebut supaya tidak timbul fitnah buruk terhadapnya sedangkan beliau tegas menentang rasuah.

“Saya juga bersedia untuk disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai perkara ini,” katanya.

Ikuti kami di Telegram untuk kemas kini terkini: https://t.me/malaysianowbm

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi

Artikel Berkaitan

Tiada artikel ditemui.